Siakap Keli
Gambar Via Bernama

Ada Keperluan PKPP Diteliti Semula – PM Muhyiddin

KUALA LUMPUR, 3 Nov (Bernama) — Tan Sri Muhyiddin Yassin berpandangan ada keperluan untuk Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) diteliti semula, bagi kawasan yang sedang menghadapi penularan semula wabak COVID-19 terutama di negeri-negeri seperti Negeri Sembilan, Melaka, Johor dan Perak.

Perdana Menteri berkata ketika Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) harian mengenai COVID-19 hari ini, beliau berbincang mengenai PKPP yang akan berakhir Disember ini, sedangkan situasi semasa masih tidak berubah sehingga ada sesetengah kawasan terpaksa dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

“Mesyuarat juga mengambil maklum mengenai cabaran Pilihan Raya Kecil Batu Sapi yang akan diadakan hujung tahun ini (5 Dis) dan Pilihan Raya Negeri Sarawak dalam situasi COVID-19 yang masih belum reda,” katanya dalam laman Facebooknya, malam ini.

Muhyiddin turut memuat naik beberapa keping gambar mesyuarat secara sidang video berkenaan, yang membincangkan situasi semasa pandemik dan langkah-langkah yang perlu diambil.

Beliau juga melahirkan rasa bimbang berikutan peningkatan kes positif COVID-19 di beberapa kawasan di Negeri Sembilan, Selangor, Perak dan Johor, yang bertukar daripada zon hijau kepada zon kuning atau merah, walaupun tindakan dan pendekatan secara mitigasi dan intervensi telah dipertingkatkan.

Sementara itu, Perdana Menteri berkata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri menjelaskan, walaupun kerajaan Arab Saudi telah membenarkan ibadah umrah dijalankan selama 10 hari, kerajaan atas nasihat Kementerian Kesihatan tidak bercadang untuk membenarkan jemaah Malaysia ke sana pada masa ini.

Mengenai kebenaran mengadakan majlis pernikahan dan solat Jumaat, Muhyiddin berkata Dr Zulkifli menjelaskan ketetapan telah dibuat dan akan dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, sebelum dilaksanakan.

Menyentuh mengenai sidang Dewan Rakyat yang bermula semalam, Muhyiddin berkata ia berlangsung dalam keadaan norma baharu, dengan pelbagai prosedur operasi standard (SOP) diperkenalkan.

“Bagaimanapun sepanjang minggu ini sidang Parlimen diadakan setakat pukul 1 petang sahaja, berikutan ada beberapa kes COVID-19 yang melibatkan beberapa petugas di Bangunan Parlimen.

“Berikutan kes tersebut, timbul sedikit kebimbangan dalam kalangan Ahli Parlimen sendiri kerana kedudukan Bangunan Parlimen itu sendiri pun terletak di zon merah dan melibatkan pergerakan keluar masuk Ahli Parlimen, para pegawai mereka serta kakitangan di situ,” katanya.

Perdana Menteri turut percaya Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Azhar Azizan Harun dapat menggunakan kebijaksanana beliau untuk menguruskan perkara itu.

Sumber: BERNAMA

Sofea

There's always another side to every story