Seorang kanak-kanak perempuan berusia empat tahun ditemui masih hidup selepas dipercayai empat hari ‘tertanam’ di bawah runtuhan apartment susulan gempa bumi di Turki.
Menurut Daily Mail, mangsa, Ayda Gezgin ditemui pasukan penyelamat setelah mereka terdengar jeritannya dari bawah serpihan bangunan di Izmir.
Salah seorang anggota penyelamat, Nusret Aksoy berkata, dia terdengar jeritan kanak-kanak sebelum menemuinya bersebelahan mesin basuh dalam runtuhan itu. Katanya, Ayda melambai kearahnya sambil memperkenalkan diri dan memberitahu bahawa dia dalam keadaan baik.
“Dia tersenyum, dia menunggu kami,” kata Levent Onur, salah seorang penyelamat yang menarik keluar Ayda. Tambahnya, mesin basuh yang berada berhampirannya membantu melindungi mangsa dari kecederaan.
Ayahnya, Ugur dilihat sempat mencium wajah mangsa yang berdebu sebelum membantu menariknya keluar dari runtuhan. Ayda kemudiannya dibawa ke hospital diirigini sorakan dan tepukan dari pasukan penyelamat.
Sebanyak 102 kematian direkodkan akibat gempa bumi dengan kekuatan 7 skala richter itu.
Sumber: Daily Mail