Siakap Keli

Jalan Utama Pasir Bogak-Teluk Nipah Ditutup, Tanah Runtuh Di Pulau Pangkor

LUMUT: 4 Nov, jalan utama yang menghubungkan Pasir Bogak ke Teluk Nipah, di Pulau Pangkor di sini ditutup untuk semua jenis kenderaan berikutan kejadian tanah runtuh, awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Manjung ACP Nor Omar Sappi berkata pihaknya menerima laporan mengenai kejadian tanah runtuh di Jalan Teluk Ketapang menghala ke Teluk Nipah pada pukul 3.25 pagi.

“Tanah runtuh tersebut telah menyebabkan jalan raya utama yang menghubungkan Pasir Bogak ke Teluk Nipah mengalami kerosakan.

“Buat masa sekarang, semua jenis kenderaan tidak dibenarkan melalui jalan berkenaan demi memastikan keselamatan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Nor Omar berkata bagaimanapun tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian tanah runtuh itu.

Katanya setakat ini pihak bomba, Majlis Pembandaran Manjung dan Jabatan Kerja Raya (JKR) telah dimaklumkan mengenai kejadian itu dan kerja pembaikan sedang dilakukan oleh JKR.

Sumber: Bernama

Alfi Aiman