SHAH ALAM, 4 Nov- Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor hari ini dimaklumkan, satu kajian jangka panjang berhubung keberkesanan benteng pesisir pantai di negeri itu akan dilaksanakan susulan faktor pemanasan bumi telah menyebabkan perubahan pada aras air laut.
Exco Infrastruktur, Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Ir Izham Hashim berkata kerajaan negeri telah memohon peruntukan untuk tujuan tersebut dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) bagi mengenal pasti isu berkaitan selain melaksanakan langkah-langkah tambahan.
“Langkah tambahan itu untuk memastikan benteng-benteng di pesisir pantai Selangor dinaik taraf supaya mampu bertahan menangani kenaikan paras air laut bagi tempoh 15 hingga 20 tahun akan datang.
“Bagi perancangan jangka pendek, Jabatan Pengairan dan Saliran Selangor sentiasa memastikan keadaan semasa benteng pantai berada dalam keadaan baik dan stabil. Kerja-kerja pembaikan kecil dan penyelenggaraan juga giat dijalankan malah pemeriksaan dilakukan sebelum dan semasa berlakunya fenomena air pasang besar,” katanya pada sidang DUN di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Dr Daroyah Alwi (Bersatu-Sementa) yang ingin tahu mengenai rancangan tambahan kerajaan negeri dalam mendepani fenomena air pasang besar serta keadaan terkini benteng di pesisir pantai Selangor.
Tambah Izham, Selangor mempunyai benteng pesisir pantai sepanjang 300 kilometer dan berada dalam keadaan stabil selepas kerja-kerja penyelenggaraan telah dilakukan sebagai persediaan menghadapi fenomena air pasang baru-baru ini.
“Projek rintis menggunakan sistem baharu ini dijalankan di Dengkil, Sepang baru-baru ini. Kita tak boleh ganti semua benteng (gunakan sistem Armour Rock sekali gus) dan akan dibuat secara berperingkat dengan keutamaan kepada lokasi benteng yang sering runtuh,” katanya.
Sumber- BERNAMA