SHAH ALAM, 4 Nov — Kerajaan negeri Selangor akan menjalankan ujian saringan bersasar COVID-19 ke atas Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela), pengawal keselamatan dan pekerja pembersihan dalam tempoh dua bulan ini.
Exco Kesihatan Awam, Perpaduan, Pembangunan Wanita dan Keluarga negeri Dr Siti Mariah Mahmud berkata ujian berkenaan dilaksanakan ke atas kumpulan itu berikutan skop pekerjaan mereka yang berisiko tinggi kerana sentiasa bergerak dalam masyarakat.
“Kumpulan ujian saringan bersasar ini adalah mengikut cadangan oleh Jawatankuasa COVID-19 Selangor dan Majlis Keselamatan Negara (MKN). Kami juga ada terima maklumat daripada Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (mengenai kelompok untuk ujian saringan bersasar),” katanya pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Lim Yi Wei (PH-Kampung Tunku) yang ingin tahu mengenai kawasan yang mungkin dilaksanakan ujian saringan bersasar memandangkan jumlah kes COVID-19 di Selangor semakin meningkat.
Menjawab soalan tambahan R. Rajiv (PH-Bukit Gasing) mengenai kerjasama dengan kerajaan Persekutuan dalam isu COVID-19, Dr Siti Mariah berkata kerajaan negeri tidak menerima data terperinci sebaliknya data yang telah diproses mengenai situasi pandemik berkenaan di Selangor namun tetap dimanfaatkan bagi menentukan lokasi sasaran untuk ujian saringan bersasar itu.
Sementara itu, beliau berkata sebanyak 5,433 individu menjalani ujian saringan bersasar COVID-19 fasa satu sejak Mac hingga April lepas dan untuk fasa kedua bermula Ogos hingga kini, seramai 902 orang khususnya penduduk Selangor yang pulang dari Sabah telah disaring.
Katanya, berdasarkan ujian saringan bersasar fasa satu itu, sepuluh individu disahkan positif COVID-19 dan menerima rawatan di Hospital Sungai Buloh.
Dalam pada itu, DUN Selangor diberitahu sebanyak 122 projek perkilangan di negeri berkenaan membabitkan nilai pelaburan berjumlah RM3.39 bilion diluluskan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) sejak Januari hingga Jun lepas.
Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari berkata daripada jumlah pelaburan itu, sebanyak RM1.83 bilion adalah pelaburan tempatan manakala RM1.56 bilion adalah pelaburan asing.
“Kerajaan negeri terus melaksanakan pelbagai program untuk memastikan Selangor kekal relevan dan sentiasa diyakini pelabur.
“Walaupun sedang dilanda pandemik COVID-19, namun ia tidak menghalang kita untuk melaksanakan program promosi yang sudah dirancang sebelum ini menerusi pelbagai cara iaitu webinar, pameran secara maya serta program fizikal yang mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan,” katanya.
Beliau menjawab pertanyaan Datuk Rosni Sohar (BN-Hulu Bernam) mengenai nilai pelaburan yang masuk di Selangor sejak Januari hingga kini.
Sumber: BERNAMA