Setiap hari, kita mesti akan memandu kereta untuk ke tempat kerja, pasar, masjid, rumah dan ke mana-mana sahaja.
Namun, sedarkah kita, terdapat beberapa amalan ‘biasa’ yang selalu kita buat, tapi sebenarnya ia boleh memudaratkan kereta?
Ikuti perkongsian oleh Popular Mechanics di bawah ini.
1- Abaikan brek letak kereta (parking brake)
Walaupun kereta berada di kawasan rata, itu bukan alasan untuk tidak menarik brek tangan. Apabila kereta tidak dibrek, seluruh berat kereta akan ditampung oleh sebahagian besi dalam kotak transmisi yang dipanggil ‘parking pawl‘.

Dengan saiznya hanya sebesar jari, ia terpaksa menampung beban kereta sehingga boleh menyebabkannya rosak. Sebab itulah brek tangan perlu digunakan bagi memastikan komponen gear ‘selamat’.
2- Biarkan minyak tinggal sedikit

Segelintir pemandu gemar meneruskan pemanduan walaupun lampu tangki petrol sudah menyala, tanda ia perlu diisi. Bagi yang tidak tahu, pengepam bahan bakar (fuel pump) akan berjalan lancar sekiranya ‘tenggelam’ dalam petrol.
Namun apabila tangki mulai kering, pengepam ‘terpaksa’ bekerja dengan panas dan kering, itu boleh mengakibatkannya rosak kerana ibarat ‘mengepam benda yang tiada’.
3- Tukar gear dari ‘reverse’ ke ‘drive’ secara tiba-tiba
Ini biasa dilakukan sekiranya pemandu dalam keadaan ‘nak cepat’. Sebaiknya, ketika menukar gear dari ‘reverse‘ ke ‘drive‘, adalah lebih bagus jika ‘berhenti’ dalam sesaat dua di mode ‘neutral‘.
Ia penting bagi mengelakkan kerosakan di bahagian enjin, transmisi gear atau gandar.
4- ‘Perah minyak’ tanpa tunggu enjin panas dulu
Selepas enjin dihidupkan, kita perlu membiarkannya ‘hidup’ dalam seminit dua sebelum mula menekan minyak (revving). Ia membantu sistem pengaliran petrol ke enjin dan memastikan enjin serta blok mencapai suhu yang optimum.
Namun, revving serta-merta selepas enjin dihidupkan tidak akan membantu proses tersebut, malah ia berisiko menyebabkan kerosakan. ‘Pemanasan’ ketika sejuk akan menyebabkan perubahan suhu enjin secara tiba-tiba yang menimbulkan tekanan antara komponen mesin.
Sebaiknya, biarkan enjin selama 60 saat (secukupnya), kemudian barulah boleh mula memandu.
5- Brek kecemasan pada waktu yang tidak perlu
Elakkan membrek kecemasan secara kerap apabila tidak perlu atau bukan pada waktunya. Cengkaman brek yang kuat beserta geseran panjang atas permukaan jalan akan menyebabkan pad brek, rotor dan tayar cepat ‘haus’.
Kalau waktu itu memang betul-betul kecemasan, tiada masalah. Tapi kalau sekadar sengaja pandu laju (maksimum), kemudian membrek tiba-tiba atau nak buat ‘drift‘, seeloknya lupakan saja niat itu.
6- Menggunakan ‘gear’ sebagai tempat letak tangan

Memandu kereta ‘manual‘ kadangkalanya terasa nikmat apabila sebelah tangan memegang stereng dan sebelah lagi memegang gear. Sebaiknya, ia perlu dielakkan.
Ia kerana tekanan tangan anda pada gear itu mungkin boleh menyebabkan transmisi ‘tertukar’ secara tidak sengaja. Peganglah stereng dengan kedua-dua belah tangan. Itu lebih selamat.
7- Menekan ‘klac’ sentiasa ke lantai

Biasanya ia dibuat oleh pemandu kereta manual ketika berhenti di lampu isyarat. Pedal klac (clutch) akan ditekan terus dalam tempoh lama selagi mana kereta berhenti.
Ia juga boleh menyebabkan kerosakan pada bantalan pelepas (release bearing), lengan pelepas (release arm) dan plat tekanan (pressure plate).
Sebaiknya, tukar gear menjadi neutral, lepaskan klac dan tekan brek. Apabila lampu hijau, tukar kembali gear dan teruskan pemanduan.
8- Bawa beban muatan lebih had
Kena tahu, semakin berat bebanan kereta, semakin kuat pedal minyak perlu ditekan. Dalam masa sama, semakin kuat juga tekanan pada pemacu (drivetrain), brek dan suspension. Maka semakin banyak jumlah petrol yang terpaksa digunakan. Ia sangat merugikan.
Sebaiknya, bawalah muatan dengan had berat maksimum yang disarankan.
9- Sentiasa tekan brek waktu turun bukit
Ketika menuruni bukit, ramai yang suka ‘main’ brek untuk kawal kelajuan. Ia berisiko menyebabkan pad brek dan rotor menjadi panas serta haus.
Sebaiknya, cara yang elok adalah menukar gear yang lebih rendah. Penyahmampatan semulajadi (natural decompression) yang berlaku pada drivetrain akan membantu kereta bergerak pada kelajuan yang terkawal. Ketika ini, jika anda membrek sekalipun, ia tidak menjadi masalah.
10- Abaikan tanda amaran
Apabila berlaku sesuatu masalah pada kereta, lampu tanda amaran pasti akan menyala. Jangan abaikan. Sebaiknya, terus ke bengkel kereta untuk membuat semakan.
Jangan sampai kereta mati tiba-tiba di tengah lebuhraya, baru kita rasa menyesal.
Sumber: Popular Mechanics