IPOH, 5 Nov — Pejabat Menteri Besar Perak di sini diarahkan tutup selama 14 hari bermula hari ini selepas seorang kakitangannya disahkan positif COVID-19.
Menurut kenyataan Pejabat Menteri Besar Perak hari ini, proses sanitasi telah dijalankan di pejabat yang terletak di Bangunan Perak Darul Ridzuan itu sebagai langkah keselamatan sementara pegawai dan kakitangan pula diarahkan menjalani kuarantin kendiri.
“Bahagian lain di bangunan terbabit pula telah beroperasi selepas kerja-kerja sanitasi selesai dijalankan pada 2 petang tadi,” demikian menurut kenyataan itu.
Menurut kenyataan itu, Menteri Besar Perak Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu tidak berada di pejabat dalam tempoh berkenaan kerana sedang menghadiri sidang Dewan Rakyat di ibu negara.
Bagaimanapun atas faktor keselamatan, Ahmad Faizal telah menjalani ujian saringan kesihatan semalam dan beliau disahkan negatif COVID-19.
Sumber: BERNAMA