PUTRAJAYA, 5 Nov – Terdapat lima lagi kluster baharu penularan COVID-19 dikesan hari ini, umum Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Datuk Seri Dr. Noor Hisham Abdullah.
Kluster pertama, iaitu Kluster Sutera dikesan di daerah Kota Kinabalu, Sabah. Kes indeks adalah kes ke-35,499 dan kes ke-35,500 yang dikenal pasti positif hasil saringan individu bergejala pada 2 Nov.
Kes dimasukkan ke Hospital Queen Elizabeth. Saringan kontak rapat mendapat 13 lagi kes positif. Setakat hari ini, 32 individu telah disaring, 15 dikesan positif, enam (6) negatif dan 11 lagi menunggu keputusan.
Kluster kedua, iaitu Kluster Ria-30 di daerah Tuaran, Sabah. Kes adalah hasil saringan komuniti sejak 2 Nov, semua kes dimasukkan ke Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah Intan di Sepagar, Sabah.
Setakat hari ini, 254 individu telah disaring, 11 dikesan positif, 121 negatif dan 122 lagi menunggu keputusan.
Kluster ketiga, iaitu Kluster Tamar di daerah Petaling, Selangor. Kes indeks adalah kes ke-32,410 dikesan positif hasil saringan individu bergejala pada 1 Nov.
Saringan kontak rapat mendapati terdapat sembilan (9) lagi kes positif. Semua kes dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh. Setakat hari ini, 137 individu telah disaring, 10 positif, 57 negatif dan 70 menunggu keputusan.
Kluster keempat, iaitu Kluster Intan di daerah Timur Laut, Pulau Pinang. Kes indeks adalah kes ke-30,788 melibatkan bukan warganegara. Kes dikesan positif hasil saringan sebelum pulang ke negara asal pada 29 Okt lalu.
Saringan kontak rapat mengenal pasti lapan (8) lagi kes positif. Semua kes dimasukkan ke Hospital Pulau Pinang. Setakat hari ini, 98 individu telah disaring, sembilan (9) positif, 35 negatif dan 54 menunggu keputusan.
Kluster kelima, iaitu Kluster Danau di daerah Titiwangsa, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Kes indeks adalah kes ke-29286 dikesan positif hasil saringan individu bergejala pada 27 Okt.
Saringan kontak rapat mendapati tujuh (7) lagi kes positif. Semua kes dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh. Setakat hari ini. 82 individu telah disaring, lapan (8) positif, 40 negatif dan 34 menunggu keputusan.
Sumber: KKM