Dua pekerja buruh mendapat durian runtuh selepas berjaya menemui dua butir berlian seberat 7.44 dan 14.98 karat ketika menggali di lombong daerah Panna Madhya Pradesh, kata seorang pegawai pada hari Selasa.
Dilip Mistry telah menggali berlian seberat 7.44 karat itu dari lombong di Jaruapur sementara Lakhan Yadav pula berjaya menggali berlian seberat 14.98 karat tersebut di wilayah Krishna Kalyanpur, kata pakar berlian Anupam Singh.
Berlian tersebut dilaporkan telah disimpan di pejabat berlian pada hari Isnin dan akan dilelong, kata pejabat itu, sambil menambah bahawa pekerja buruh itu akan mendapat ganjarannya selepas pemotongan royalti sebanyak 12.5 peratus.
Walaupun nilai sebenar berlian itu bakal ditentukan oleh pihak berkuasa, namun harga berlian seberat 7.44 karat itu boleh mencapai sehingga ₹ 30 lakh (RM 167,871.29) manakala berlian yang lebih besar daripada itu bernilai dua kali ganda daripada jumlah berlian yang kecil tadi, katanya.
Sementara itu, kedua-dua pekerja berkenaan berasa teruja dan gembira dengan penemuan terbabit.
Bagi Lakhan Yadav, yang merupakan seorang petani kecil dengan tanah seluas dua ekar, ini adalah penemuan berlian pertama buatnya.
“Saya akan menggunakan wang dari hasil ini untuk pendidikan anak-anak saya,” katanya.
Dilip Mistry pula berkata, “Saya adalah salah seorang daripada empat orang di dalam satu kumpulan dan kami telah bekerja keras untuk mengorek berlian di tanah persendirian kami selama enam bulan terakhir. Dengan rahmat tuhan, saya telah menemui berlian berkualiti baik ini untuk pertama kalinya.”
Panna, yang terletak di wilayah belakang Bundelkhand, sangat terkenal dengan lombong berliannya.
Sumber: NDTV