Berpantang maut sebelum ajal, seekor belut ular dilihat sempat menembusi leher seekor burung bangau ketika ia sedang terbang.
Seorang jurugambar hidupan liar, Sam Davis, 58 sempat merakamkan detik ngeri itu, lapor Daily Star.
Bangau itu dikatakan telah memakan belut ular berkenaan yang kemudiannya terjulur keluar dan cuba melepaskan diri melalui leher unggas tersebut.
Belut ular itu dipercayai telah menggunakan hujung ekornya yang runcing dan keras untuk menikam leher bangau berkenaan.
“Pada mulanya saya fikir bangau itu digigit di leher oleh ular atau belut. Selepas saya pulang ke rumah dan mengedit gambar, saya dapat lihat seekor belut keluar dari lehernya. Saya boleh lihat matanya dan ia masih hidup,” kata Davis.
Bagaimanapun, nasib bangau itu tidak dapat diketahui sama ada ia masih hidup atau sudah mati.
Menurut saintis, Jeff Johnson kepada The Guardian, “Kebanyakan haiwan membenamkan kepala dahulu, tetapi belut ular menggunakan ekor yang runcing dan keras untuk menggali mendakan di dasar laut.
“Ketika mereka ditelan, mereka menggunakan mekanisme sama untuk menembus keluar dari dinding perut,” katanya.



Sumber: Daily Star