KUCHING, 6 Nov — Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak yang akan bermula Isnin ini hanya membenarkan seorang petugas daripada setiap organisasi media untuk membuat liputan persidangan yang akan bermula Isnin ini sebagai langkah mengurangkan risiko penularan wabak COVID-19.
Ketua Seksyen Pengurusan Komunikasi Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) Samuel Simon hari ini berkata keputusan itu dibuat berikutan langkah kerajaan negeri mengehadkan jumlah kehadiran majlis sosial dan rasmi yang membabitkan perhimpunan orang ramai kepada hanya separuh daripada kapasiti asal.
“Bagaimanapun bagi petugas media penyiaran, mereka dibenarkan untuk menghantar dua kru masing-masing seorang wartawan dan jurukamera. Semua yang hadir dikehendaki melakukan pemeriksaan suhu, menggunakan cecair pembasmi kuman, penjarakan fizikal diamalkan dan diwajibkan memakai pelitup muka,” katanya.
Dalam taklimat media berhubung tatacara persidangan DUN di sini, yang turut dihadiri Setiausaha DUN Sarawak Pele Peter Tinggom, beliau berkata pihak media tidak diwajibkan menjalani ujian saringan COVID-19 seperti Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) atau petugas yang perlu berada dalam dewan persidangan.
“Pergerakan petugas media hanya dihadkan di kawasan lobi dan bilik media (Bangunan DUN) sahaja. Pihak DUN Sarawak akan mematuhi segala prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) bagi memastikan persidangan kali ini bebas daripada COVID-19,” katanya.
Sementara itu, beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sarawak telah mula melakukan ujian saringan COVID-19 yang diadakan secara pandu lalu di perkarangan bangunan DUN Sarawak yang bermula kira-kira pukul 9.30 pagi.
Antara mereka yang menjalani saringan ialah Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan dan Menteri Belia dan Sukan Sarawak Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah (ADUN Asajaya); Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Datuk Seri Fatimah Abdullah (Dalat); Menteri Muda Pembangunan Tanah Adat Sarawak Datuk Roland Sagah Wee Inn (Tarat) dan ADUN Balingian Abdul Yakub Arbi.
Semalam, Speaker Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar berkata semua ADUN, ahli Kabinet dan mereka yang memasuki dewan persidangan termasuk speaker perlu menjalani ujian calitan hari ini dan esok.
Bangunan DUN Sarawak juga akan disanitasi sehari sebelum dan selepas tamat persidangan pada 14 Nov, selain tempat duduk ahli DUN akan dipasang pemisah lut sinar.
Persidangan DUN Sarawak dijadual berlangsung selama lima hari dari 9 hingga 13 Nov.
Sumber: BERNAMA