Peranan golongan belia seharusnya diberikan penekanan dan dijadikan sebagai faktor utama bagi mendorong pembangunan ekonomi Malaysia dan rantau Asia Pasifik secara amnya.
Agenda pengukuhan ekonomi belia juga perlu diperhalusi bagi meningkatkan penglibatan golongan belia di dalam agenda nasional memandangkan anggaran satu pertiga populasi di Malaysia terdiri daripada golongan belia.
Siapa golongan belia ni?
Di Malaysia, belia ditakrifkan sebagai mereka yang berusia di antara 15 sehingga 30 tahun. Sebelum ini, lingkungan umur belia sehingga 40 tahun tetapi dikurangkan seiring dengan keperluan semasa.
“Generasi belia merupakan aset terbesar yang berpotensi untuk pembangunan negara”

Dasar Pembangunan Belia Negara yang telah mengkaji semula pada tahun 1997 telah menyatakan bahawa generasi belia merupakan aset terbesar yang berpotensi untuk menyumbang kepada pembangunan negara. Di samping itu, golongan ini juga akan menentukan kekuatan pertumbuhan sosial, ekonomi dan politik di sini.
Saban hari, kian banyak agensi kerajaan dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) serta syarikat swasta menganjurkan pelbagai program bagi menarik perhatian golongan muda untuk berjinak-jinak dalam sektor ekonomi.
Malaysia jadi tuan rumah APEC 2020 selepas 22 tahun…
Perkara ini juga sejajar dengan usaha Malaysia selaku penganjur bagi persidangan Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) 2020 sekali gus memberi fokus terhadap pembangunan belia dan memperlihatkan pentingnya peranan belia dalam memulihkan ekonomi. Tahun ini adalah kali kedua Malaysia menjadi tuan rumah APEC, kali terakhir Malaysia menjadi tuan rumah adalah pada 1998.
APEC 2020 yang membabitkan 21 negara, adalah forum ekonomi serantau tahunan yang diperkenalkan pada 1989 bagi memanfaatkan kebergantungan yang semakin meningkat dalam kalangan ekonomi Asia Pasifik.
Ia juga bertujuan untuk mewujudkan kemakmuran dengan menggalakkan keseimbangan dan kelestarian pertumbuhan bagi meningkatkan integrasi ekonomi serantau.
Selain rangkaan pelbagai agenda yang berteraskan kepada kemakmuran bersama dan kesejahteraan setiap lapisan masyarakat terutama generasi muda, pendekatan interaktif untuk membincangkan polisi APEC 2020 berjaya dijalankan menerusi lebih 50 siri mesyuarat yang dianjurkan secara maya.
APA KATA BELIA…
Kamal Fuad Jemenon, 23, Penghantar Makanan
Sebagai tuan rumah APEC 2020, Malaysia dapat meneruskan perancangannya bagi memperkasakan kedudukan belia dalam bidang ekonomi dan pembangunan mampan serta holistik.
“Sidang kemuncak seperti ini mampu mewujudkan persekitaran kondusif bagi usahawan, pemula niaga dan perusahaan sosial kerana semua elemen ini adalah komponen kritikal sesebuah sistem bagi menyumbang kepada perkongsian bersama.
“Pendekatan APEC 2020 lebih santai dan interaktif membolehkan lebih ramai golongan belia mengenalinya dan melihat sendiri betapa pentingnya peranan mereka untuk memangkin ekonomi,” katanya.
Akuinya, tidak ramai yang mengetahui mengenai sidang pada tahun ini akan diadakan terutama di tengah penularan Covid-19.
“Pada pendapat saya, persidangan kali ini agak unik kerana diadakan dalam norma baharu dan mesti banyak isu akan dibincangkan lebih lagi berkaitan keperluan golongan belia oleh pemimpin negara yang menyertainya,” katanya ketika dihubungi, baru-baru ini.
Iziyatul Izati Salam, 23, Bekas Graduan Universiti Awam
Mengakui sebelum ini dirinya kurang mengambil perhatian tentang penganjuran APEC namun persepsi mengenainya berubah selepas mengenali APEC 2020 menerusi satu program kesedaran masyarakat Skuad APEC.
“Sebelum ini, mengikut pengetahuan saya APEC hanya disertai deligasi mahupun penggiat industri ekonomi. Tetapi, kini saya tahu yang polisi APEC boleh memberi impak kepada hidup saya.
“Saya juga berpendapat belia memainkan peranan penting dalam pembangunan ekonomi penduduk di rantau ini. Perkara ini jelas menunjukkan bahawa golongan belia adalah penentu masa depan penduduk rantau ini,” katanya.
Abdul Wazeef Bin Abdul Wahab
Penganjuran APEC penting dalam membantu memperkenalkan kemampuan Malaysia dalam membantu memudahkan perbincangan antara ketua-ketua ekonomi APEC.
“Mengikut fahaman saya, Malaysia menjadi antara penyumbang ekonomi perdagangan terbesar bagi sektor pembuatan sekali gus mewujudkan peluang pekerjaan dalam sektor eksport yang luas.
“Pembabitan generasi belia dalam sektor perniagaan dapat menghidupkan budaya persaingan sihat kepada penggiat industri sedia ada untuk kekal maju,” katanya.
“Kemampuan generasi belia untuk bekecimpung dalam eksport juga dapat memastikan rantau ini kekal penting selain dan membawa kemakmuran kepada semua lapisan masyarakat terutama golongan belia seperti saya,” katanya lagi.
Jadi, inilah peluang untuk kita anak muda buktikan kepada orang ramai, kita mampu melakukannya.
Untuk maklumat lanjut sila layari laman web rasmi www.myapec2020.my