KUALA LUMPUR, 6 Nov – Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz mengumumkan kerajaan bersedia melaburkan RM15 juta untuk pembangunan sukan e-sports.
Jelasnya, ia termasuk dalam usaha membangunkan sukan berprestasi tinggi seperti hoki, ragbi, badminton, berbasikal dan pembangunan atlet wanita yang menelan belanja sebanyak RM55 juta.
“Kerajaan juga akan menyediakan RM103 juta untuk membina, menaik taraf dan menyelenggara kemudahan sukan di seluruh negara.
“(Selain itu) bagi membantu pengusaha industri sukan, RM20 juta disediakan sebagai pinjaman mudah di bawah skim TEKUN Sukan untuk memastikan kelangsungan operator fasiliti sukan,” katanya dalam sidang pembentangan Belanjawan 2021 hari ini.
Tambahnya, RM28 juta juga diperuntukkan bagi melaksanakan program MyFit, Hari Sukan Negara dan program Inspire bagi komuniti orang kelainan upaya (OKU).
“Selain itu, had pelepasan cukai pendapatan bagi gaya hidup dinaikkan daripada RM2,500 kepada RM3,000 iaitu tambahan RM500 yang dikhususkan bagi perbelanjaan berkaitan sukan termasuk bayaran penyertaan pertandingan sukan.
“Skop pelepasan ini juga diluaskan untuk meliputi langganan surat khabar elektronik,” katanya lagi.
Sumber: Kementerian Kewangan