Siakap Keli

Solat Jumaat: Satu Pertiga Kapasiti Masjid Di Zon Hijau Dan Kuning Bermula Esok

KUALA LUMPUR: 5 Nov, jumlah jemaah solat Jumaat diperluaskan dan dibenarkan sehingga satu pertiga kapasiti dewan masjid atau surau Jumaat bagi zon kuning dan hijau di Wilayah Persekutuan bermula esok.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata bagi solat fardhu lima waktu di zon berkenaan, kapasiti dibenarkan adalah tidak melebihi 30 orang jemaah dan tertakluk kepada keluasan dewan dengan penjarakan satu meter antara jemaah.

“Bagi Labuan yang kini dalam zon merah, jumlah jemaah solat Jumaat dihadkan pada dua belas orang dan solat lima waktu dihadkan pada tiga orang.

“Pada masa yang sama, aturan ini akan turut dilaksanakan di Kuala Lumpur dan Putrajaya sekiranya wujudnya zon merah di kawasan berkenaan,” katanya dalam satu sidang khas menerusi Facebook rasminya hari ini.

Zulkifli berkata perkara itu dipersetujui susulan Mesyuarat Khas Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI) kali ke-9 yang bersidang pada 2 Nov lepas dan telah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Bagi majlis akad nikah pula, Zulkifli berkata jumlah jemputan adalah tidak melebihi 30 orang dengan mengambil kira penjarakan satu meter serta tertakluk pada keluasan premis ditetapkan oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI).

Katanya premis itu merangkumi pejabat agama dan juga masjid-masjid terpilih yang ditetapkan oleh JAWI.

“Jurufoto adalah dibenarkan dan tidak termasuk dalam 30 orang jemputan tetapi hendaklah mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan. SOP ini berkuat kuasa di Wilayah-Wilayah Persekutuan bermula esok,” katanya.

Zulkifli berkata bagi negeri-negeri lain, perkara itu adalah tertakluk kepada keputusan pihak berkuasa agama negeri masing-masing, bagaimanapun untuk tujuan penyelarasan, disarankan negeri-negeri mengikut resolusi yang telah dicapai bersama dalam Mesyuarat MKI baru-baru ini,” katanya

Sementara itu, Zulkifli turut mencadangkan supaya masjid dan surau di zon hijau dan kuning menyediakan ruang solat khusus bagi penghantar makanan dan pemandu e-hailing yang bermusafir untuk menunaikan solat.

Beliau turut mencadangkan supaya pihak pengurusan surau-surau di kawasan Rehat dan Rawat di lebuhraya dan surau pusat membeli belah di zon hijau dan kuning untuk turut dibuka, namun hendaklah mematuhi SOP yang ketat.

Sementara itu di SEREMBAN, Zulkifli berkata pihaknya akan menimbangkan penyaluran peruntukan kepada masjid dan surau di Negeri Sembilan susulan banjir kilat yang berlaku semalam, tertakluk kepada peruntukan.

“Setakat ini, secara khususnya tidak ada peruntukan, tetapi kita cuba ikhtiarkan mengikut keadaan, lebih-lebih lagi bajet (Belanjawan 2021) juga belum diumumkan, tetapi kita dahulukan perkara penting. Apa yang utama dahulu supaya kita dapat lakukan solat seperti biasa.

“Kita akan buat secara kolaborasi termasuk bersama kerajaan negeri dan Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM), kita akan cuba cari jalan kerana masjid menjadi keutamaan saya,” katanya pada sidang media selepas menyerahkan sumbangan kepada mangsa terjejas banjir di sini hari ini.

Terdahulu Zulkifli menyerahkan sumbangan berjumlah RM40,000 berupa wang dan barangan keperluan asas kepada 200 penduduk terlibat banjir di Rantau sumbangan YaPEIM dan Yayasan Taqwa.

Sumber: bernama

Alfi Aiman