PUTRAJAYA, 6 Nov – Kerajaan akan menyediakan pengecualian duti setem penuh ke atas surat pindah milik dan perjanjian pinjaman bagi pembelian rumah kediaman pertama bernilai sehingga RM500,000.
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Azizi berkata, ia sebagai satu langkah untuk menggalakkan pembelian rumah bagi rakyat negara ini.
“Pengecualian ini adalah untuk perjanjian jual beli yang disempurnakan mulai 1 Januari 2021 sehingga 31 Disember 2025.
“Kedua, pengecualian duti setem ke atas perjanjian pinjaman dan surat pindah milik diberikan kepada kontraktor penyelamat dan pembeli asal rumah terbengkalai dilanjutkan lagi tempoh lima tahun.
“Pengecualian ini adalah untuk perjanjian jual beli yang disempurnakan mulai 1 Januari 2021 sehingga 31 Disember 2025 bagi projek perumahan terbengkalai yang disahkan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan,” katanya dalam sidang Pembentangan Belanjawan 2021 hari ini.
Dalam pada itu, jelas Tengku Zafrul, sejumlah RM1.2 bilion diperuntukkan kerajaan bagi usaha menyediakan perumahan yang selesa dan berkualiti kepada golongan berpendapatan rendah.
“Sebanyak RM500 juta untuk membina sebanyak 14,000 unit rumah di bawah program perumahan rakyat, RM315 juta untuk pembinaan 3,000 unit rumah mesra oleh SPNB.
“Ketiga, RM125 juta bagi penyelenggaraan perumahan berstrata kos rendah dan sederhana rendah serta bantuan membaik pulih rumah usang dan yang mengalami kerosakan akibat bencana alam.
“Dan keempat, RM310 juta untuk program perumahan penjawat awam Malaysia,” katanya lagi.
Sumber: RTM