Dubai: Pasukan perubatan Mesir berjaya mengeluarkan seekor ikan yang masih hidup dari saluran pernafasan seorang nelayan dalam satu kejadian yang mengejutkan, lapor media tempatan.
Lelaki berusia 40 tahun itu, yang difahamkan memancing di Beni Suef, sebuah bandar yang terletak 110km ke selatan Kaherah, tiba di jabatan kecemasan hospital dalam keadaan yang tenat kerana sedang bertarung nyawa untuk bernafas dan sukar bercakap.
Pemeriksaan sinar-X dan imbasan CT menunjukkan ikan itu tersangkut pada saluran pernafasan pesakit. Pasukan perubatan kemudiannya terus melakukan prosedur gastroskopi bagi mengeluarkan ikan tersebut dan mujur berjaya menyelamatkan nyawa lelaki itu.
Nelayan tersebut dilaporkan cuba untuk memegang ikan yang baru ditangkapnya itu dengan menggunakan mulutnya buat seketika bagi memastikan tangannya kosong untuk menangkap ikan lain sebelum ikan tersebut secara tidak sengaja telah masuk ke dalam mulutnya dan menyebabkannya tercekik.
Para doktor mendapati bahawa ikan itu masih hidup selepas berjaya mengeluarkannya daripada saluran pernafasan lelaki itu. Pesakit yang mengalami radang akut tersebut dilaporkan telah dimasukkan ke unit rawatan rapi untuk pemerhatian.
Sumber: Gulf News