Tak sempat nak ‘enjoy’ bersama barang yang dicuri, seorang suspek kes curi berjaya ditangkap oleh pihak polis selepas dirinya terbatuk semasa bersembunyi, lapor Tribun Pantura.
Kejadian yang berlaku di Desa Karangnangka, Kabupaten Mrebet, Kabupaten Purbalingga itu menyaksikan suspek mencuri di sebuah rumah pada selasa lalu dan ditangkap bersama barang yang dicuri.
Menurut Ketua Polis Mrebet, Iptu Edi Surono, suspek dikatakan memasuki rumah mangsa dengan memanjat tembok dan mematikan elektrik di rumah mangsa.
“Dia juga menuangkan cecair sabun di depan pintu rumah mangsa dan kemudian berusaha mencari barang berharga yang ada untuk diambil,” katanya.
Mangsa yang menyedari elektrik terpadam kemudian bangun dan cuba menghidupkan meter elektrik. Dia terkejut apabila mendapati ada jejak telapak kaki di beranda rumah bersama dengan cecair sabun di depan pintu.

Merasa ada sesuatu yang pelik di rumahnya, dia terus meminta tolong dari penduduk dan melaporkan kejadian itu kepada polis Mrebet.
Polis datang dan memeriksa rumahnya serta berusaha mencari suspek.
Tidak lama kemudian, mereka terdengar bunyi batuk di sekitar gazebo di perkarangan rumah mangsa.
“Ketika diperiksa, suspek ternyata bersembunyi di bawahnya,” kata ketua polis.
Memetik laporan Tribun Pantura, suspek akhirnya berjaya ditangkap bersama bukti, dia didapati mengambil dua pakaian mangsa yang berada di tali jemuran.
Sebelum mencuri di rumah tersebut, suspek dipercayai telah mencuri motosikal di wilayah Kecamatan Bojongsari.
Rupa-rupanya suspek sebelum ini sudah tiga kali mempunyai rekod jenayah mencuri.
Sumber: Tribun Pantura