Siakap Keli
Kredit: Jabatan Meteorologi Malaysia

Gempa Bumi Sederhana Bermagnitud 5.4 Dikesan Di Barat Daya Sumatera Pagi Tadi

Satu gegaran gempa bumi sederhana bermagnitud 5.4 pada skala Ritcher dikesan berlaku di barat daya Sumatera, Indonesia pada 8.52 pagi tadi.

Jabatan Meteorologi Malaysia memaklumkan, pusat gempa bumi itu terletak pada 6.5 darjah selatan dan 103.9 darjah utara dengan kedalaman 68 kilometer, serta sejauh 192 kilometer barat daya dari Bandar Lampung, Indonesia.

Bagaimanapun, tiada amaran tsunami dilaporkan setakat ini.

Semalam, jabatan tersebut turut mengeluarkan notis permulaan musim Monsun Timur Laut bagi 2020/2021 yang dijangka bermula 11 Nov (esok) sehingga Mac 2021.

Difahamkan, empat hingga enam siri hujan lebat berterusan dijangka akan berlaku.

Semasa fasa awal Monsun Timur Laut iaitu dari November sehingga Disember 2020, siri hujan lebat dijangka berlaku di Kelantan, Terengganu dan Pahang, manakala mulai Januari 2021, siri hujan lebat dijangka lebih tertumpu di Pahang, Johor, Sabah dan Sarawak.

Seterusnya, fasa kedua Monsun Timur Laut pula mulai hujung Januari 2021, dijangka cuaca agak kering di negeri-negeri di utara Semenanjung; Kedah, Pulau Pinang dan Perlis serta Kelantan.

Berikutan itu, hujan lebat berterusan untuk tempoh beberapa hari boleh mengakibatkan kejadian banjir di kawasan-kawasan berkedudukan rendah dan kawasan kerap banjir.

Impaknya, risiko kejadian banjir boleh menjadi lebih buruk sekiranya hujan lebat berlaku serentak dengan kejadian air pasang besar serta luruan ribut.

Dalam masa sama, tiupan angin timur laut secara berterusan dan kencang juga boleh menyebabkan laut bergelora dan ombak besar di perairan Laut China Selatan.

Oleh itu, orang ramai dinasihatkan bersiap sedia menghadapi musim tengkujuh serta peka dengan amaran hujan lebat, angin kencang dan laut bergelora yang dikeluarkan jabatan itu.

Sebarang informasi terkini akan disalurkan melalui laman sesawang rasmi, aplikasi myCuaca dan laman media sosial jabatan dari semasa ke semasa.

Sumber: Jabatan Meteorologi Malaysia

Nur Adnin

'Jilat luka, tampal parut jadi lencana'

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.