Dalam beberapa dekad, kita dapat melihat transformasi telefon daripada bersaiz besar menjadi lebih kompak. Dari telefon yang dipenuhi butang kepada peranti yang menggunakan skrin sentuh semata.
Biarpun ramai yang mengejar teknologi peranti terbaru, bagi seorang lelaki di Turki, Sehabettin Ozcelik, telefon lama mempunyai nilainya sendiri.
Sehingga kini, lelaki yang mengambil upah membaiki telefon itu telah menyimpan lebih 1,000 model telefon termasuk versi yang dianggap klasik di rumahnya.
Antara koleksi klasik dalam simpanannya ialah Nokia 3310 dan Motorola Razr V3. Menariknya, kesemua telefon ini dikatakan masih berfungsi seperti biasa.
“Saya mula membuat kerja ini kerana minat dalam telefon. Satu hari, saya memutuskan untuk mula mengumpul, memikirkan ia akan lapuk tidak lama lagi. Semua telefon dalam koleksi saya masih berfungsi, tetapi ianya tidak lagi dikilangkan,” katanya kepada Agensi Anadolu.
Kesemua koleksinya merangkumi telefon yang dibeli dan juga peranti yang dibuang oleh pengguna lama.
“Semuanya adalah model yang jarang ditemui dan sangat bernilai. Sebahagian pembeli mendekati saya dan ingin membeli, namun saya tidak menjualnya.
“Kerja untuk menyelenggara telefon-telefon ini adalah sukar, tetapi saya sebolehnya ingin memastikan ia berada dalam keadaan terbaik,” katanya.
Beliau dikatakan pernah memiliki hampir 2,000 model telefon, namun rumahnya telah dipecah masuk dan lebih 700 buah telefon telah hilang.
Ozcelik dikatakan telah mula mengumpul telefon sekitar 20 tahun lalu dan sangat menggemari koleksi telefon miliknya.
Sumber: Oddity Central, Facebook