Siakap Keli
Gambar: FB Polis Daerah Ampang Jaya Page

Anggota Polis IPD Ampang Jaya Maut Motosikal Terbabas

KUALA LUMPUR, 12 Nov (Bernama) — Seorang anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya meninggal dunia selepas motosikal yang ditunggangnya melanggar tiang lampu di Jalan Taman Cempaka, Ampang di sini malam semalam.

Dalam insiden pada 11.10 malam itu, Koperal Tuan Mahmud Tuan Mamat, 38, yang dalam perjalanan pulang selepas selesai bertugas mengalami kecederaan serius di kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya ACP Mohamad Farouk Eshak berkata kemalangan itu dipercayai berlaku ketika mangsa dalam perjalanan dari IPD Ampang Jaya ke Kajang.

 “Sebaik tiba di lokasi, motosikal ditunggang mangsa hilang kawalan dan terbabas sebelum melanggar tiang lampu di sebelah kiri jalan.

“Pelanggaran itu menyebabkan motosikal berkenaan tercampak ke bahu kiri jalan manakala mangsa terbaring di sebelah tiang lampu,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata jenazah mangsa telah dibawa ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Ampang untuk bedah siasat dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Ukay Perdana, Hulu Klang pada 11 pagi tadi.

— BERNAMA

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.