Siakap Keli
Gambar Via Bernama

Kerajaan Perlu Wujud Dana Kecemasan Hadapi Gelombang COVID-19 – Ahli Parlimen

KUALA LUMPUR, 12 Nov (Bernama) — Seorang Ahli Parlimen hari ini mencadangkan kerajaan mewujudkan dana kecemasan bagi menghadapi kemungkinan berlakunya gelombang COVID-19 pada masa hadapan.

Dr Azman Ismail (PH-Kuala Kedah) berkata dana kecemasan itu perlu sebagai persediaan sekiranya berlaku kecemasan atau gelombang keempat dan seterusnya COVID-19.

“Kita baru-baru ini tercungap-cungap bila hadapi ledakan gelombang ketiga di Sabah…apakah ada jaminan tiada gelombang empat lima enam (COVID-19)?

“…sebab itu perlu penyediaan khusus contingency fund kalau berlaku kecemasan atau gelombang empat lima, enam, kita ada dana yang cukup,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-undang Perbekalan 2021 di Dewan Rakyat hari ini.

Menerusi Belanjawan 2021 yang dibentangkan Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz pada 6 Nov lepas, Kementerian Kesihatan diperuntukkan hampir RM32 bilion dengan RM4 bilion bagi menangani COVID-19.

Sementara itu, Datuk Jalaluddin Alias (BN-Jelebu) ketika berbahas mencadangkan supaya kesemua 2,000 pekerja kontrak KKM diserap menjadi kakitangan tetap kementerian itu selepas tamat pandemik COVID-19.

“Kita ada 2,000 kakitangan kontrak KKM yang diumumkan oleh pihak kementerian, saya nak minta tolong pihak kerajaan pastikan 2,000 kakitangan kontrak ini bila lepas (selepas) pandemik COVID-19, serap mereka kepada (menjadi) kakitangan tetap kerajaan.

“Mereka berkorban demi negara dalam soal nyawa, masa dan keluarga…bila kita selamat daripada COVID-19 kita tendang mereka, not fair (tidak adil). Serap mereka kepada jawatan tetap,” katanya.

Persidangan dewan bersambung Isnin.

— BERNAMA

Sofea

Iqra'.

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.