SEPANG, 12 Nov (Bernama) — Polis menemukan satu mayat tanpa pakaian serta hilang organ dalaman dipercayai telah dimakan haiwan liar, terapung di kawasan lombong di Kampung Orang Asli, Bukit Dugang, Dengkil di sini, Selasa lepas.
Ketua Polis Daerah Sepang ACP Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata mayat itu ditemui tanpa kad pengenalan diri atau sebarang tanda pengenalan seperti tanda kelahiran, yang menyukarkan usaha untuk mengenal pasti identiti.
“Mayat ketika ditemui di lombong dalam keadaan terapung serta terlungkup, dan ia dipercayai mayat seorang lelaki yang telah meninggal dunia lima hari sebelum dijumpai,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.
Beliau berkata punca kematian masih belum dapat disahkan dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
Sumber: BERNAMA