KUALA LUMPUR, 12 Nov (Bernama) — Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang mengesan kira-kira 400 penduduk Medan 88, Bandar Baru Salak Tinggi, Sepang, yang tidak pulang ke kediaman masing-masing selepas kawasan itu diumumkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), berkuatkuasa mulai semalam.
Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, perkara berkenaan (mengesan penduduk) telah dipersetujui dalam sidang khas Majlis Keselamatan Negara untuk PDRM berbuat sedemikian.
Beliau berkata PDRM akan menahan mana-mana penduduk yang lari dari kawasan itu seperti yang pernah dilaksanakan kepada penduduk Selangor Mansion, di sini, yang dikenakan PKPD pada April lepas.
“Sewaktu kawasan Selangor Mansion dikenakan PKPD, ramai pekerja asing melarikan diri dan kita dapat tangkap mereka satu persatu.
“Arahan menangkap mereka juga telah dikeluarkan dan kali ini lebih mudah sebab ada majikan-majikan yang bersubahat membawa mereka lari menaiki bas (dari kawasan PKPD Medan 88),” katanya dalam sidang media perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat di Kementerian Pertahanan, di sini.
Sumber: Bernama