Siakap Keli
Gambar: Bernama

Cuti Deepavali: Aliran Trafik Lancar, Tiada Kesesakan Luar Biasa

KUALA LUMPUR, 13 Nov  — Tiada kesesakan luar biasa berlaku di kebanyakan lebuh raya dan laluan keluar dari ibu negara sama ada menuju ke utara, timur atau selatan tanah air, sempena cuti umum Hari Deepavali, esok.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman Datuk Azisman Alias berkata aliran trafik lancar setakat 7.30 malam tadi dan tiada jumlah kenderaan yang tinggi sama ada di Lebuhraya Utara Selatan (PLUS), Lebuhraya Karak mahupun Lebuhraya Pantai Timur (LPT).

“Aliran trafik biasa sejak dari 5 petang hingga 7.30 malam ini. Walaupun orang ramai mulai keluar dari pejabat dan waktu puncak, aliran trafik seperti biasa,” katanya kepada Bernama hari ini.

Beliau percaya orang ramai akur dengan arahan kerajaan yang tidak membenarkan pergerakan rentas mukim, daerah atau negeri bagi mereka yang berada di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) untuk tujuan balik kampung bersempena Deepavali.

Azisman berkata, kebenaran rentas negeri hanya diberikan kepada perkhidmatan perlu (essential services) dan mereka yang mendapat kebenaran pergerakan daripada polis.

Bagaimanapun, beliau berkata pemantauan aliran trafik terus dilakukan anggotanya dari semasa ke semasa.

Sementara itu, jurucakap Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) berkata laluan di kedua-dua arah LPT 1 dan LPT 2 dilaporkan lancar setakat ini.

Bagaimanapun, setakat 7.30 malam tadi, aliran trafik hanya perlahan di beberapa plaza tol kerana faktor hujan dan sekatan jalan raya yang diadakan pasukan keselamatan.

“Trafik perlahan dari Subang Jaya ke Plaza Tol Puchong Barat, laluan masuk dan keluar Plaza Tol Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur dan Plaza Tol Sungai Besi ke pusat bandar,” katanya.

Sementara itu, jurucakap PLUS Malaysia Berhad ketika dihubungi berkata aliran trafik ke utara dan selatan adalah lancar.

Sumber: BERNAMA