Siakap Keli
Gambar: Bernama

Diskaun 15 Peratus Bil Elektrik Antara Saranan Rancakkan Sektor Pelancongan Pulau Pinang

GEORGE TOWN, 13 Nov — Melanjutkan diskaun bil elektrik sebanyak 15 peratus bagi enam sektor adalah antara saranan kerajaan Pulau Pinang bagi membantu merancakkan kembali ekonomi sektor pelancongannya yang terjejas ekoran pandemik COVID-19.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Ekonomi Kreatif Pulau Pinang (PETACE) Yeoh Soon Hin berkata pihaknya telah menulis surat kepada kerajaan Persekutuan bagi mengetengahkan beberapa cadangan untuk meringankan beban penggiat industri pelancongan memandangkan Belanjawan 2021 yang diumumkan baru-baru ini, disifatkannya kurang memberi manfaat kepada mereka.

“Kami telah mencadangkan kepada Kementerian Tenaga dan Sumber Asli untuk melanjutkan diskaun bil elektrik sebanyak 15 peratus bagi enam sektor termasuk pengendali hotel, agensi pengembaraan dan pelancongan, kompleks beli-belah, pusat konvensyen, taman tema, dan pejabat syarikat penerbangan tempatan.

“Kita juga mencadangkan kepada Menteri Kewangan Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz untuk melanjutkan tempoh moratorium dan program subsidi upah kepada penggiat industri pelancongan yang terkesan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, kerajaan negeri juga telah mencadangkan kepada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) untuk mengecualikan pembayaran fi pembaharuan lesen dan lesen tambahan bagi pengusaha pelancongan dan pemandu pelancong sehingga Disember 2021.

“Sempadan Malaysia yang masih belum dibuka kepada pelancong antarabangsa ditambah dengan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang baharu sahaja dilaksanakan, mengakibatkan semua aktiviti pelancongan terpaksa dihentikan.

“Ini adalah cabaran yang amat besar untuk memulihkan industri tersebut. Justeru, kerajaan perlu membantu penggiat industri pelancongan supaya dapat meringankan beban kewangan mereka dengan harapan industri tersebut tidak berdepan situasi pemberhentian pekerjaan secara amnya” katanya.

Sumber: BERNAMA