Siakap Keli
Gambar Hiasan via Google

Lipas Tak Boleh Terbang? Ini Antara Fakta Menarik Mengenai Lipas Yang Mungkin Ramai Belum Tahu

Siapa je yang tak kenal lipas. Mungkin ada yang berani dengan serangga ini, tapi sekali ia buka ‘mod terbang’, hampir semua orang akan bertempiaran lari menyelamatkan diri.

Sering dikaitkan dengan serangga kotor pastinya membuatkan ramai orang tidak mahu terpalit dengan serangga ini. Apatah lagi dengan keadaan kakinya yang ‘bergerigi’ dan sedikit tajam, pasti menggelupur kalau ia ‘mendarat’ di tengkuk.

Kisah lipas terbang sering menjadi igauan netizen. Namun, benarkah ia boleh terbang?

Menurut laman Terminix, terdapat lebih 3,500 spesies lipas di dunia, di mana masih banyak jenis yang belum dikenalpasti. Kebanyakan lipas mendiami kawasan tropika seperti hutan hujan serta kawasan yang lembab dan panas.

Banyak spesies lipas yang mempunyai sayap, tapi tak semuanya dikatakan mampu terbang dengan baik. Malah, kebanyakan lipas dipercayai tidak dapat terbang langsung, kata portal tersebut.

Kongsi laman itu, terdapat beberapa jenis lipas yang boleh terbang jarak dekat manakala sebahagian spesies lain pula boleh meluncur di udara daripada tempat tinggi ke tempat yang lebih rendah dengan sayap mereka.

Sebaliknya, kebanyakan lipas lebih cenderung menggunakan kaki berbanding sayap berikutan saiz mereka yang besar sebagai sejenis serangga.

Menurut portal Rentokil, ada juga jenis lipas hanya meluncur ataupun melayangkan dari satu tempat ke satu tempat dan hanya untuk waktu yang singkat.

Jisim badan dan sayap lipas dipercayai tidak kondusif untuk terbang dengan laju. Keadaan ini menjadikan ia lebih mudah terdedah kepada pemangsa seperti burung atau kelawar.

Sebaliknya, dengan berlari, lipas boleh bergerak lebih pantas.

Oleh itu, biarpun sebahagian serangga ini boleh terbang, mereka lebih cenderung menggunakan kaki yang pantas untuk berlari. Mungkin sebab itu jugalah wujudnya pepatah ‘lipas kudung’.

Malah, lipas juga dikenalpasti sebagai serangga yang mampu berlari dengan paling laju, mencecah beberapa kaki dalam satu saat.

Lipas Amerika dipercayai mampu berlari pada kelajuan 3.4 batu sejam, bersamaan kira-kira 5.5 kilometer per jam.

Jika dibandingkan nisbah panjang badan mereka, lipas boleh bergerak pada jarak 50 kali ganda panjang tubuh mereka dalam satu saat. Kelajuan ini dipercayai melangkaui kelajuan Cheetah yang boleh bergerak pada kelajuan nisbah 18 kali panjang badan per saat.

Gambar hiasan. (Kredit: Google)

Nak tahu lebih lanjut tentang lipas? Jom baca 7 fakta menarik serangga ini dikongsikan Pest World.

1. Lipas boleh hidup seminggu tanpa kepala

Lipas bernafas menggunakan liang pada segmen badannya, justeru ia tidak memerlukan mulut atau kepala untuk bernafas. Lipas dipercayai akan mati kerana dahaga kerana ketiadaan mulut.

2. Lipas boleh menahan nafas selama 40 minit

Serangga perosak ini boleh terus hidup walaupun terendam di dalam air setengah jam lamanya. Fungsi ini dipercayai untuk membantu mengawal kehilangan air dalam badan.

3. Anak lipas berusia satu hari boleh berlari hampir sama laju dengan lipas dewasa

Menurut Pest World, anak lipas yang berusia satu hari bukan sahaja mampu bergerak laju, ia juga boleh bersembunyi ke segenap kawasan, menjadi risiko penyebaran penyakit.

4. Lipas terbesar di dunia bersaiz enam inci panjang

Hanya ditemui di Amerika Selatan, spesies ini mempunyai kepanjangan satu kaki.

5. Lipas wujud sekitar 280 juta tahun lalu sejak zaman karbon (Carboniferous era)

6. Lipas boleh hidup tanpa makanan selama satu bulan

Serangga ini boleh hidup lama tanpa makanan, namun hanya boleh bertahan satu minggu tanpa air. Disebabkan itulah ia sering ditemui di kawasan lembab seperti tandas dan ruang bawah tanah.

7. Ada antara spesies lipas yang tertarik kepada alkohol disebabkan kewujudan gula dalam minuman tersebut.

Bagi menghindari serangga perosak ini, pakar menyarankan agar memastikan makanan sentiasa bertutup dan melakukan pembersihan setiap hari.

Sumber: Terminix, Pest World

Amira

Love yourself.