ISKANDAR PUTERI, 13 Nov — Tompokan hijau seperti lumut di Sungai Melayu yang mencetuskan kebimbangan nelayan sejak tiga hari lepas, disahkan sebagai ledakan algae jenis ‘diatom’.
Pengarah Perikanan Negeri Johor Noraishah Hashim berkata ledakan algae itu melibatkan kawasan seluas kira-kira 10 kilometer, dari kawasan perairan Pendas sehingga Sungai Melayu, di sini.
Daripada pemerhatian awal, beliau berkata fenomena berkenaan yang dipanggil ‘euthrofication phenomenon’ iaitu fenomena berlakunya pengkayaan nutrien di badan air, pertama kali berlaku melibatkan algae jenis itu.
“Kalau dilihat daripada pemerhatian kita, ini merupakan ledakan algae (plankton) yang (mungkin) disebabkan pencemaran daripada kumbahan industri, domestik, pengorekan dasar laut ataupun daripada kerja-kerja penambakan.
“Selain itu, ledakan algae juga boleh berlaku sekiranya ada perubahan cuaca drastik iaitu panas serta hujan dan mungkin juga berlaku kerana aktiviti pengkayaan nutrien di badan air,” katanya kepada pemberita ketika meninjau keadaan berkenaan di Kampung Sungai Melayu, di sini hari ini yang turut dihadiri wakil Jabatan Alam Sekitar negeri.
Noraishah berkata pihaknya telahpun mengambil sampel air untuk penyelidikan lanjut mengenai algae dan kualiti air di kawasan berkenaan bagi mengenal pasti punca kejadian selain melihat kesannya kepada persekitaran.
“Sampel untuk kenal pasti lebih lanjut algae berkenaan telah dihantar ke pusat penyelidikan Batu Maung, Pulau Pinang manakala sampel bagi mengetahui kualiti air dihantar ke Pusat Penyelidikan Gelang Patah, di sini.
“Keputusan algae akan diketahui dalam masa seminggu, manakala keputusan sampel air mungkin diketahui esok atau lusa,” katanya.
Ketika ditanya berhubung dakwaan nelayan bahawa air yang mengandungi algae berkenaan mendatangkan kesan kegatalan jika terkena pada manusia, beliau berkata hasil pemerhatian awal mendapati algae berkenaan tidak berbahaya untuk hidupan marin tetapi kesannya kepada manusia belum dapat ditentukan.
Bagaimanapun, beliau berharap keputusan penyelidikan yang akan diperoleh minggu hadapan akan memberi jawapan lebih jelas mengenai algae berkenaan.
“Kalau kita tengok daripada pemerhatian awal, algae spesies diatom diklasifikasikan tidak berbahaya (kepada hidupan marin), cuma ia akan menyebabkan kandungan oksigen terlarut berkurangan, sekali gus boleh menyebabkan ikan mati.
“Jadi kita telah beritahu penternak di sekitar kawasan ini supaya menuai hasil yang sudah matang iaitu ikan yang sudah mencapai saiz untuk dijual atau memasang pancuran air untuk meningkatkan kadar oksigen pada waktu malam,” kata Noraishah.
Beliau berkata ledakan algae itu berkemungkinan mengambil masa antara seminggu hingga dua minggu untuk hilang dari perairan.
Buat masa ini, terdapat 106 nelayan laut, 20 penternak kupang dan enam penternak ikan sangkar di kawasan Sungai Melayu.
Media sebelum ini melaporkan kebimbangan komuniti nelayan dan penduduk Kampung Sungai Melayu terhadap kemunculan tompokan hijau terapung di permukaan air di tepi Sungai Melayu, yang didakwa membawa bau busuk yang hanyir, serta menyebabkan kegatalan jika terkena pada kulit.
Sumber: BERNAMA