Seramai tujuh orang dilaporkan maut selepas dijangkiti COVID-19 dan punca jangkitan tersebut dipercayai kerana menghadiri sebuah majlis perkahwinan pada Ogos lalu, lapor LA Times.
Majlis perkahwinan yang dipercayai hanya dihadiri 55 orang tetamu itu berlangsung di Big Moose Inn di Millinocket, Maine. Seorang tetamu dipercayai positif COVID-19.
Beberapa minggu selepas itu, virus tersebut terus merebak kepada 176 orang yang lain.
Laporan terbaharu COVID-19 oleh pegawai dari Pusat Pengendalian dan Pencegahan Penyakit Maine menjelaskan bagaimana satu kes COVID-19 boleh menyebabkan begitu banyak ‘penderitaan’ dan kematian.
Menurut LA Times, tetamu majlis perkahwinan itu tidak mematuhi peraturan yang diwajibkan ke atas mereka seperti memakai pelitup muka dan menjarakkan diri di antara satu sama lain.
Situasi ini memperlihatkan salah satu kesan yang sangat besar dari perjumpaan sosial dan terkadang ia mungkin sukar untuk difahami oleh sesetengah orang.
Sumber: LA Times