Siakap Keli

Nigeria Dilanda Wabak Demam Kuning, Sekurang-kurangnya 76 Maut Setakat Ini

Wabak demam kuning yang melanda tiga wilayah di Nigeria dilapor telah meragut sekurang-kurangnya 76 nyawa setakat ini dalam tempoh 10 hari pertama November.

Menurut laporan Xinhua, sebanyak 35 kematian dicatatkan di wilayah Delta, 33 kes di wilayah Enugu manakala 8 kematian lagi di wilayah Bauchi.

Manakala sebanyak 222 kes disyaki demam kuning dan 19 kes sah demam kuning turut dilaporkan di ketiga-tiga wilayah dalam tempoh yang sama, kata jurucakap Pusat Kawalan Penyakit Berjangkit Nigeria, Chikwe Ihekweazu.

Beliau turut menambah, kebanyakkan mangsa merupakan lelaki berusia diantara setahun hingga 55 tahun yang menunjukkan simptom-simptom seperti demam, sakit kepala, keletihan, jaundis, kekejangan otot, muntah serta najis dan air kencing mengandungi darah.

Sehubungan itu bagi mengekang wabak berkenaan dari terus merebak, pihaknya akan menjalankan proses vaksinasi dengan kadar segera.

Penyakit demam kuning dipercayai berpunca daripada virus yang disebarkan melalui gigitan nyamuk. Ia boleh dicegah melalui suntikan vaksin yang memberi perlindungan sepanjang hayat.

Sumber: Xinhua

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.