KUALA LUMPUR, 14 Nov – Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan ucapan takziah kepada isteri dan seluruh ahli keluarga perintis penerbangan awam negara, Allahyarham Kapten Datuk Khairi Mohamad yang meninggal dunia kelmarin.
Istana Negara menerusi satu perutusan memaklumkan, Seri Paduka Baginda turut menzahirkan rasa sedih dengan pemergian Allahyarham dan berharap agar seluruh ahli keluarga sabar dan tabah menghadapi suasana pedih dan pilu ketika ini.
“Seri Paduka Baginda amat menyanjung tinggi dan menghargai khidmat bakti serta jasa Allahyarham kepada negara. Al-Sultan Abdullah menyifatkan pemergian Allahyarham sebagai satu kehilangan besar kepada negara dan dunia penerbangan tempatan.
“Al-Sultan Abdullah mendoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat oleh Allah SWT dan ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman dan para solihin,” kata perutusan tersebut hari ini.
Difahamkan, Allahyarham merupakan juruterbang yang sangat berdedikasi dan berpengalaman serta jurulatih penerbangan yang telah melahirkan ramai juruterbang muda.
Mengimbas kembali, Allahyarham merupakan juruterbang Melayu kedua selepas Allahyarham Kapten Hassan Ahmad yang telah berkhidmat bersama syarikat penerbangan nasional, Malaysia Airlines (MAS).
Allahyarham juga merupakan salah seorang kapten yang terus berkhidmat bersama Syarikat Penerbangan Malaysia Airlines (MAS) selepas MAS berpisah dengan Malaysia-Singapore Airline (MSA) pada tahun 1972.
“Allahyarham menyertai MSA pada tahun 1962 sebagai juruterbang bersama atau pegawai pertama, dua tahun selepas memperolehi Commercial Pilot’s Licence (CPL).
“Pada tahun 1968, Allahyarham dinaikkan pangkat sebagai Kapten setelah memperolehi Airline Transport Pilot’s Licence (ATPL). Jawatan akhir Allahyarham bersama MAS ialah Pengarah Operasi Penerbangan.
“Allahyarham juga mengukir sejarah apabila bersama-sama Ketua Jurutera Penerbangan MAS, K. Ragunathan dan Kapten Roland Thomas membawa pulang kapal terbang pertama MAS, McDonnell Douglas DC-10-30 dari Carlifornia, Amerika Syarikat ke Kuala Lumpur melalui Hawaii,” tambah perutusan itu lagi.
Sumber: Istana Negara