KUALA KANGSAR, 13 Nov (Bernama) — Polis terpaksa mengejar sejauh kira-kira dua kilometer sebelum berjaya menahan seorang lelaki yang memandu secara melulu untuk mengelak sekatan jalan raya (SJR) sehingga mengakibatkan kecederaan dan kerosakan kepada pengguna jalan raya lain di sini, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar ACP Omar Bakhtiar Yaacob berkata kejadian berlaku semasa suspek berumur 37 tahun yang memandu kereta jenis Proton Saga Iswara itu dalam perjalanan dari Manong menghala ke pekan Kuala Kangsar, pada kira-kira pukul 7.00 malam.
Beliau berkata apabila melihat satu SJR polis yang dilaksanakan susulan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) berdekatan simpang Highland Park, suspek memecut masuk ke kawasan perumahan itu ketika melihat polis cuba menghampirinya.
“Beberapa kereta peronda polis terus mengejarnya sebelum suspek merempuh sebuah motosikal yang ditunggang seorang wanita berumur 25 tahun sehingga menyebabkan patah pergelangan tangan kanan dan luka-luka kecil di badan.
“Selepas merempuh motosikal itu, suspek masih enggan menghentikan keretanya menyebabkan polis terus mengejar sehinggalah lelaki itu melanggar bahagian belakang sebuah daripada kereta peronda polis yang memotong laluannya,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Omar Bakhtiar berkata suspek yang masih enggan menyerah diri ketika itu mengundurkan kereta dan cuba merempuh sebuah lagi kereta peronda yang berada di belakangnya, namun sempat dielak, menyebabkan Proton Saga Iswara itu terbabas ke longkang sebelah kanan jalan.
Lelaki itu berjaya ditahan di Kampung Sungai Siput Hulu berdekatan kawasan perumahan Chandan Putri di sini dan ujian air kencing terhadap suspek yang berasal dari Sungai Siput mendapati dia bebas dari penggunaan dadah serta pemeriksaan kereta suspek juga tidak menemukan sebarang bahan larangan.
Siasatan awal mendapati suspek tiada lesen memandu, cukai jalan tamat tempoh, memiliki satu rekod di bawah Akta Racun 1952 selain lapan saman atas pelbagai kesalahan, dan dia kini ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh.
Sumber: BERNAMA