KUALA LUMPUR, 17 Nov – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menyasarkan peningkatan hasil jualan sebanyak 1.5 peratus pada suku keempat daripada nilai jualan sebanyak RM1.6 bilion bagi suku ketiga dalam Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM) tahun ini.
Pengarah Bahagian Pembangunan Perniagaan KPDNHEP Ismainur Hadi Amat Bakeron berkata meskipun negara sedang bergelut dengan ancaman pandemik COVID-19, kementerian itu optimis sasaran tersebut dapat dicapai menerusi ekosistem ekonomi digital dan infrastruktur e-dagang yang diguna pakai ketika ini.
“Bagi KBBM pada tahun ini, kementerian menjalinkan kolaborasi bersama tiga penyedia platform marketplace yang mempunyai jumlah pengunjung tertinggi di Malaysia iaitu Shopee, Lazada dan PG Mall dengan jumlah purata pengunjung bagi ketiga-tiga platform ini sebanyak 58 juta pengunjung sebulan,” katanya dalam program Ruang Bicara terbitan Bernama TV malam ini.
Ismainur Hadi berkata festival beli-belah 11.11 oleh Lazada Malaysia turut melonjakkan jualan produk buatan negara selain menjangkakan festival 12.12 akan datang yang menawarkan pelbagai produk tempatan pada harga rendah serta penghantaran percuma turut membawa nilai jualan memberangsangkan.
“Sehingga 31 Okt lepas, terdapat 31,000 produk tempatan di pelbagai platfrom marketplace. Jumlah ini dilihat meningkat berbanding tahun sebelumnya iaitu hanya kira-kira 7,000 sku (unit simpanan stok),” katanya.
“Justeru, orang ramai digalakkan membeli barangan secara dalam talian dengan mengutamakan barangan keluaran tempatan kerana setiap sen yang dibelanjakan akan membantu menjana semula ekonomi negara,” katanya.
Sumber- BERNAMA