Kuala Lumpur, 18 November – Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan siaran media berkaitan ribut petir dan hujan lebat dijangka secara menyeluruh di kebanyakan kawasan.
Menurut kenyataan MetMalaysia, fenomena itu berikutan Monsun Timur Laut bermula sekarang hingga hujung Disember 2020.
Hujan lebat dan ribut petir dijangka kerap berlaku terutama pada waktu petang dan awal malam di negeri-negeri pantai barat Semenanjung. Antara negeri yang bakal terkesan ialah Perak, Selangor, WP Kuala Lumpur, Negeri Sembilan, Johor serta barat Sabah dan Sarawak.
“Ini disebabkan oleh faktor penumpuan angin dari arah timur dan barat serta kelembapan udara yang tinggi di seluruh negara yang menggalakkan pembentukan awan ribut petir,” tulis kenyataan itu.
Keadaan itu dijangka boleh menyebabkan banjir kilat di kawasan-kawasan rendah dan kerosakan pada struktur yang tidak kukuh.
“Orang ramai dinasihatkan agar sentiasa peka dengan amaran cuaca yang dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia melalui laman web Jabatan, aplikasi mobil myCuaca dan laman sosial rasmi Jabatan.”
Sumber: MetMalaysia