Siakap Keli
Kredit gambar: Google

Ramai Tak Tahu Ada Aplikasi ‘Smart Quran’ Dan ‘mySolat’ Dibangunkan Kerajaan Malaysia, Lebih Selamat Untuk Umat Islam Guna

Baru-baru ini hangat diperkatakan tentang sebuah aplikasi mudah alih untuk kemudahan pengguna telefon pintar yang beragama Islam.

Antara isu yang panas ialah aplikasi tersebut didakwa telah menjual data-data penggunanya kepada pihak ketiga, dipercayai unit ketenteraan Amerika Syarikat (US).

Spekulasi tersebut menimbulkan kebimbangan ramai pengguna, berikutan dakwaan kebocoran maklumat peribadi mereka yang mungkin akan digunakan untuk tujuan yang tidak dikenal pasti.

Bagaimanapun, syarikat pembangun aplikasi tersebut membuat penafian menerusi satu kenyataan rasmi malam tadi.

Hari ini, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkongsi satu aplikasi khas kegunaan pengguna Muslim khususnya di Malaysia, iaitu Smart Quran.

Aplikasi ini dibangunkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) serta Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Menariknya, ia adalah aplikasi Al-Quran mudah alih pertama yang diluluskan oleh Lembaga Perlesenan dan Kawalan Percetakan Al-Quran di bawah KDN.

Terdapat pelbagai fungsi yang disediakan dalam aplikasi ini, antaranya:-

1. Pilihan surah mengikut nama surah

Pengguna boleh mencari surah-surah yang ingin dibaca melalui susunan nama surah, dari surah pertama (Al-Fatihah) sehinggalah yang terakhir; surah ke-114 (Surah An-Nas).

Difahamkan, pengguna juga boleh memainkan audio bacaan ayat Al-Quran yang dibaca oleh beberapa qari terkenal, antaranya Sheikh Abdullah Ibn Ali Basfar, Sheikh Ali al-Huzaifi, Sheikh Ibrahim al-Akhdar dan Sheikh Muhammad Ayyub Ibn Muhammad Yusuf.

2. Pilihan surah mengikut juz

Pengguna boleh mencari ayat Al-Quran mengikut susunan juz. Mungkin ini sangat membantu bagi mereka yang menghafaz Al-Quran, sama ada digunakan untuk menghafaz atau mengulang hafazan (i’adah) mengikut juz.

3. Penanda halaman

Tak sempat habiskan bacaan dan ‘lipat’ dulu? Kalau mushaf, kita akan lipatkan sedikit penghujung halaman sebagai penanda. Tapi aplikasi ini ada sediakan tetapan penanda, supaya pengguna boleh kembali menyambung bacaannya.

4. Teks ayat-ayat Al-Quran yang menggunakan format Rasm Uthmani

Format Rasm Uthmani yang digunakan ialah sama dengan mushaf-mushaf Al-Quran yang dicetak serta dilesenkan oleh KDN di negara ini. Pasti tidak akan ada keraguan tentang susunan halaman, ayat dan sebagainya.

5. Terjemahan (tafsir)

Membaca Al-Quran sambil mentadabbur tafsir juga adalah satu amalan mulia. Pengguna boleh memahami ayat demi ayat, selain turut akan menghayati terjemahannya.

6. Mod gelap

Biasanya mod gelap digunakan ketika waktu malam. Ini membantu mengurangkan silau pada mata pengguna yang ingin membaca Al-Quran di lokasi yang kurang pencahayaan.

Sebenarnya, aplikasi Smart Quran ini telah dibangunkan pada 15 Februari 2018 lalu. Cuma mungkin kali ini Dr. Zulkifli ingin mempromosikan sekali lagi kepada kita semua sebagai satu pilihan terbaik yang disediakan kerajaan Malaysia.

Untuk rekod, aplikasi ini sudah dimuat turun dan digunakan oleh kira-kira lebih 100,000 pengguna setakat hari ini.

Justeru, jika masih belum memilikinya, anda boleh memuat turun aplikasi Smart Quran ini di SINI bagi pengguna peranti Android, manakala di SINI bagi peranti IOS.

Selain itu, terdapat juga aplikasi MySolat yang dibangunkan oleh JAKIM, antara ciri tambahan dalam aplikasi ini adalah penentuan arah kiblat.

Sumber rujukan: Dr. Zulkifli, Kementerian Dalam Negeri

Jom layan video-video di Youtube Siakap Keli

Nur Adnin

'Jilat luka, tampal parut jadi lencana'

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.