Seorang kanak-kanak berusia tujuh tahun ditemui maut selepas diperkosa secara bergilir-gilir oleh dua orang lelaki sebelum organnya dikeluarkan untuk upacara ilmu hitam, kata polis memetik laporan Daily Mail.
Kanak-kanak tersebut dilaporkan hilang dari rumahnya pada malam sambutan Deepavali. Mayatnya telah ditemui di dalam hutan dekat Kanpur, Uttar Pradesh, India.
Polis menyatakan bahawa pembunuh telah mengeluarkan organ hati serta paru-parunya untuk diserahkan kepada seorang lelaki yang kemudiannya memakan organ tersebut bersama isterinya dalam satu ritual yang bertujuan untuk meningkatkan peluang kehamilan.
Semasa disoal siasat, lelaki yang menerima organ itu telah mengakui terlibat dalam komplot pembunuhan tersebut sementara salah seorang lelaki yang disyaki membunuh itu juga turut mengaku akan perbuatannya itu, lapor media India.
Menurut Outlook India, lelaki tersebut memberitahu kepada pihak polis bahawa dia telah meminta anak saudaranya serta rakan anak saudaranya itu untuk menculik gadis tersebut dan mengambil paru-parunya.
Katanya, kedua-dua mereka berada dalam keadaan mabuk semasa mereka menyerang mangsa yang pada masa itu keluar daripada rumah untuk membeli mercun sempena sambutan Deepavali.
Kedua lelaki itu didakwa membawa mangsa ke dalam hutan dan seterusnya memperkosa sebelum membunuhnya dan mengeluarkan organnya untuk ritual tersebut.
Lelaki tersebut turut memaklumkan pada pihak polis bahawa dia telah berkahwin pada sejak tahun 1999, namun masih belum dikurniakan cahaya mata dan berharap bahawa ritual mengerikan itu akan meningkatkan peluang isterinya untuk hamil.
Kedua-dua suspek yang membunuh itu telah ditahan bersama dengan pasangan suami isteri tersebut, lapor Times of India.
Polis pada mulanya disangka bahawa mangsa terbunuh ketika sedang cuba untuk melawan lelaki yang memperkosanya itu, namun suspek dikatakan telah memberikan segala maklumat dan mengakui keseluruhan plot kes tersebut kepada penyiasat.
“Mereka membunuh kanak-kanak itu dengan menggunakan pisau dan telah mengeluarkan hati, paru-paru serta organnya yang lain seterusnya membuang mayat mangsa di dalam hutan,” menurut kenyataan dari pihak polis.
Keluarga mangsa yang risau akan kehilangannya telah melakukan pencarian pada hari Sabtu namun gagal menemuinya.
Pakar forensik serta anjing pengesan turut dikerahkan bagi mengumpul bukti saintifik dalam proses pencarian itu, kata seorang inspektor polis.
Mayat mangsa akhirnya ditemui oleh penduduk kampung pada pagi Ahad.
Sumber: Daily Mail