Polis New Zealand telah memperkenalkan pemakaian hijab dalam pakaian seragam rasmi mereka bagi mendorong lebih ramai wanita Muslim untuk menyertai pasukannya.
Pegawai konstabel Zeena Ali akan menjadi pegawai pertama yang merasmikan pemakaian hijab rasmi tersebut.
Seorang wakil daripada jabatan polis tersebut menyatakan bahawa tujuan mereka memperkenalkan pemakaian hijab itu adalah untuk mewujudkan perkhidmatan yang ‘inklusif’ yang mencerminkan ‘masyarakat yang berbilang bangsa’ di negara itu, lapor BBC.
Pasukan polis lain seperti Metropolitan Police di London dan Police Scotland turut menawarkan pilihan untuk mengenakan pakaian seragam mereka dengan hijab.
Di UK, Polis Metropolitan di London telah meluluskan pakaian seragam yang berhijab sejak tahun 2006 sementara Polis Scotland pula pada tahun 2016.
Polis New Zealand menyatakan bahawa projek untuk mereka hijab bagi dikenakan pada pakaian seragam polis ini telah dimulakan pada akhir tahun 2018 sebagai tindak balas kepada permintaan seorang anggota polis yang mengunjungi sekolah menengah.
Konstabel Ali adalah anggota pertama yang meminta hijab supaya dikenakan dalam pakaian seragamnya dan seterusnya terus dijemput untuk mengambil bahagian dalam proses merekanya.
Konstabel Ali, yang dilahirkan di Fiji dan pindah ke New Zealand ketika masih kecil, menyatakan kepada New Zealand Herald bahawa dia berkeputusan untuk menyertai pasukan polis sejurus selepas kejadian serangan pengganas di Christchurch.
“Saya menyedari bahawa lebih ramai wanita muslim diperlukan dalam pasukan polis ini untuk membantu orang ramai,” katanya kepada national daily.
“Rasanya sangat bagus sekali apabila dapat keluar dan menunjukkan hijab sebagai salah satu pakaian seragam saya,” ujarnya.
“Saya rasa dengan cara sebegitu dapat menarik lebih ramai lagi wanita Muslim untuk menyertai pasukan polis,” tambahnya.
Sumber: The Times of India