Siakap Keli
Gambar: Bernama

Kadar Indeks Jenayah Perak Turun 32 Peratus Sejak Januari

IPOH, 20 Nov — Kadar indeks negeri Perak menunjukkan penurunan sebanyak 32 peratus atau 1,295 kes bagi tempoh Januari hingga Oktober tahun ini berbanding tempoh sama pada tahun lepas.

Timbalan Ketua Polis Perak Datuk Goh Boon Keng berkata bagi tempoh 10 bulan pertama pada tahun lalu, sebanyak 4,129 kes indeks jenayah direkodkan dan untuk tempoh sama tahun ini jumlah itu menurun  kepada 2,834.

“Antara sebab utama (penurunan) adalah disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan dan pihak polis banyak melakukan operasi termasuk sekatan jalan raya, rondaan dan kehadiran polis secara kerap di sesuatu kawasan mengurangkan peluang untuk penjenayah melakukan jenayah,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Serah Terima Tugas Jawatan Timbalan Ketua Polis Perak di sini hari ini.

Pada majlis itu, Goh yang akan bersara wajib Ahad ini menyerahkan tugas kepada Datuk Mazlan Santarai dengan disaksikan Ketua Bahagian Pentadbiran Jabatan Pengurusan Bukit Aman Datuk Zaini Jass. Mazlan sebelum ini merupakan Ketua Cawangan Khas Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak.

Turut berlangsung pada hari ini ialah serah terima tugas Naib Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (Perkep) Perak daripada Datin Loh Tip Lai kepada Datin Rosiah Timah sambil disaksikan Ketua Urusetia Perkep Jabatan Pengurusan PDRM Datin Hairiah Mohd Tahir.

Selain itu, Goh berkata bagi tempoh Januari hingga Oktober lepas, jumlah jenayah kekerasan turut mencatatkan penurunan sebanyak 670 kes berbanding 941 kes pada tahun lepas manakala jenayah harta benda juga berkurang daripada 3,188 kes tahun lalu kepada 2,164 bagi setakat bulan lepas.

Mengenai prestasi Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Perak sepanjang tahun ini, Goh berkata ia telah menjalankan sebanyak 10 operasi dengan tangkapan seramai 9,214 orang yang telah diambil tindakan di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Bagi prestasi yang ditunjukkan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Perak pula, sebanyak 1,371 kes dicatatkan bagi tempoh berkenaan dengan peningkatan penyelesaian sebanyak 55 kes berbanding tempoh sama tahun lalu,” katanya

Ditanya mengenai visinya selepas dilantik ke jawatan itu, Mazlan berkata beliau akan memastikan kecemerlangan pasukan polis kontinjen Perak terutama dalam menangani isu jenayah dan penularan wabak COVID-19 selain memberi perkhidmatan terbaik supaya masyarakat memperoleh keyakinan tinggi terhadap pasukannya.

Sumber: BERNAMA

Aqmal Ezany

I write what is right