Siakap Keli
Gambar Via Bernama

Kuala Terengganu Diisytihar Bebas Wabak Hawar Berdarah-Pengarah JPV

KUALA TERENGGANU, 20 Nov — Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Terengganu mengisytiharkan daerah Kuala Terengganu bebas wabak hawar berdarah atau haemorragic septicaemia mulai semalam.

Pengarahnya Dr Mohd Termizi Ghazali berkata kematian terakhir haiwan ternakan akibat penyakit itu telah direkodkan di Kuala Terengganu, pada 28 Sept lepas.

“Penyakit ini mula dikesan di Kuala Terengganu pada awal September melibatkan dua penternak yang menyebabkan kematian dua ekor lembu dan 58 kerbau,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Pada tahun ini, tiga daerah di Terengganu yang merekodkan penyakit hawar berdarah iaitu Marang, Kuala Nerus dan Kuala Terengganu.

Bagi Marang, kematian ternakan akibat penyakit hawar berdarah berlaku pada awal Ogos lalu melibatkan 14 penternak dan kematian 17 lembu dan 22 kerbau.

Marang telah diisytiharkan bebas wabak hawar berdarah pada 27 Sept lepas.

Sementara itu, Kuala Nerus, telah diisytihar bebas wabak hawar berdarah pada Selasa (17 Nov) lepas.

Kematian awal ternakan akibat penyakit hawar berdarah dikesan di Kuala Nerus pada 30 Sept lepas, melibatkan empat penternak dan15 lembu dengan kematian terakhir direkodkan pada 10 Okt lepas.

Dr Termizi berkata setakat ini sebanyak 14,179 ternakan di seluruh Terengganu telah menjalani proses vaksin.

“Namun, kita menyarankan agar penternak yang masih belum mendapatkan suntikan vaksin, supaya berbuat demikian secepat mungkin bagi mencegah risiko wabak berulang kerana musim panas dan hujan yang berlaku ketika ini, antara faktor utama hawar berdarah boleh menyerang ternakan,” katanya.

Sumber: BERNAMA