Simbol lampu enjin kereta yang terdapat pada bahagian meter anda mungkin menyala sekiranya sudah tiba masa untuk anda menghantar servis kereta anda. Walaupun begitu, tidak mustahil juga ianya menyala disebabkan beberapa perkara ini.
Seperti yang dikongsikan oleh portal Stringer Auto Repair, ini antara 5 perkara yang menyebabkan lampu enjin pada bahagian meter anda menyala.
1. Alat Pemangkin Asap (Catalytic Converter)
Harap-harapla simbol lampu enjin pada meter kereta anda tidak menyala disebabkan alat pemangkin asap ini bermasalah. Sebab utama mengapa diharapkan sebegitu ialah kerana untuk menggantikan alat pemangkin asap ini mungkin memerlukan belanja yang besar dan kenderaan anda tidak boleh bergerak tanpanya.
Alat pemangkin asap ini adalah sebahagian daripada sistem ekzos kenderaan anda dan jika anda terbau seperti bau telur busuk serta simbol lampu enjin pada bahagian meter anda menyala, masalahnya mungkin berpunca disebabkan oleh alat pemangkin asap ini.
2. Penutup Tangki Minyak
Kadang kala, tidak menutup penutup tangki minyak dengan ketat yang secukupnya juga boleh menyebabkan lampu enjin pada bahagian meter kenderaan anda menyala. Penutup tangki minyak yang longgar akan menyebabkan simbol tersebut menyala kerana penutup tangki minyak mempunyai fungsi kedap udara selepas ianya diketatkan. Jadi, sekiranya penutup itu tidak diketatkan, retak mahupun rosak, lampu amaran enjin mungkin akan menyala pada meter anda.
3. Sensor MAF (Mass Airflow Sensor)
Sensor MAF yang terdapat pada enjin kereta anda bertujuan untuk menyukat udara yang masuk ke dalam enjin anda bagi memastikan jumlahnya cukup dan tepat untuk bercampur dengan minyak. Sekiranya anda tidak mendapat campuran udara / minyak yang tepat, enjin anda mungkin akan berhenti berjalan atau tidak boleh dihidupkan.
Apabila sensor MAF ini gagal, simbol enjin pada meter kenderaan anda mungkin akan menyala kerana komputer onboard akan menerima isyarat bahawa ada masalah dengan campuran udara / minyak di dalam mesin anda.
4. Sensor Oksigen
Perkara yang sama juga turut boleh berlaku pada sensor oksigen. Bahagian penting ini bertujuan menyukat berapa banyak oksigen yang tidak terbakar dalam ekzos kenderaan anda. Jika ianya terlalu sedikit atau terlalu banyak, ianya boleh merosakkan beberapa bahagian enjin anda yang lain.
Sensor oksigen yang rosak akan membuatkan simbol enjin pada meter anda untuk menyala setiap masa. Sebenarnya, ianya adalah salah satu sebab yang paling umum mengapa simbol enjin pada kenderaan anda menyala semasa anda sedang memandu kenderaan anda.
5. Palam Pencucuh (Spark Plugs)
Akhir sekali, palam pencucuh yang sedang terpakai atau wayar palam itu akan menghasilkan simbol enjin menyala pada meter anda. Apa sahaja yang tidak kena pada sistem pencucuhan kenderaan anda akan menyebabkan simbol enjin tersebut menyala. Sekiranya palam anda tidak digantikan dan meter kenderaan anda mempunyai jarak lebih dari 100,000 batu, sudah tiba masanya untuk anda menggantikan palam baru serta mungkin kabel baru.
Jadi, sekiranya lampu itu sudah menyala, nampaknya kenderaan anda sudah perlu ‘dirawat’ dengan segara.
Sumber: stringerautorepair.com