Siakap Keli
Gambar: CTV News

COVID-19: Dipercayai Akibat Penipuan Seorang Pekerja, Seluruh Negeri Dengan 1.7 Juta Orang Dilapor Dikenakan ‘Lockdown’

Seorang pekerja di sebuah premis menjual piza yang dijangkiti Covid-19 didakwa telah berbohong berkenaan aktiviti pekerjaannya sehingga menyebabkan seluruh negeri Australia Selatan terpaksa dikenakan sekatan pergerakan (lockdown), lapor CNN.

Negeri yang mempunyai kepadatan penduduk seramai 1.7 juta orang itu tidak akan dikenakan perintah berkurung sekiranya pekerja itu memberitahu perkara sebenar kepada pasukan pengesan kontak rapat, kata Menteri Australia Selatan, Steven Marshall kepada wartawan pada sidang media, memetik laporan CNN.

Beliau juga turut mengumumkan untuk menarik balik sekatan pergerakan tersebut enam hari lebih awal, berdasarkan maklumat baru yang diterimanya itu.

Komisioner Polis Australia Selatan, Grant Stevens berkata, pihak berkuasa hanya mengetahui bahawa seseorang yang mengakui bahawa dia berada di premis tersebut hanya untuk mengambil makanan yang dipesan adalah merupakan seorang pekerja yang bertugas secara tetap di situ.

Pihak berkuasa sebelum itu telah merumuskan bahawa strain Covid-19 itu mempunyai tahap kebolehjangkitan yang tinggi walaupun individu tersebut berada di premis berkenaan dalam tempoh yang singkat.

Australia Selatan mula dikenakan sekatan pergerakan pada Rabu selepas puluhan kes positif Covid-19 dalam kalangan warga tempatan tercetus buat pertama kalinya sejak April. Premis tersebut telah dikenalpasti sebagai ‘hotspot’ Covid-19.

“Pegawai Pasukan pengesan kontak rapat Australia Selatan mendapati bahawa salah satu kontak rapat di premis tersebut telah berbohong,” kata marshall. “Kami kini tahu bahawa maklumat itu adalah palsu.”

Mulai tengah malam Sabtu, perintah berkurung akan ditarik balik, dan warga Australia Selatan akan dibenarkan untuk bersenam di luar rumah dan kembali kepada perintah sekatan yang sebelumnya.

Menteri Australia Selatan dan komisioner polis mempertahankan keputusan mereka untuk mengenakan perintah berkurung dengan menyatakan bahawa keputusan itu tepat berdasarkan maklumat yang mereka ada pada ketika itu. Individu yang berbohong itu tidak akan didenda atau dihukum, tambah Stevens.

Marshall turut menambah bahawa pihak berkuasa kini sedang giat berusaha untuk mengenal pasti dan mengesan sekumpulan kakitangan yang lain di premis tersebut.

Sumber: CNN