Siakap Keli
Kredit: Bernama

“..Dah Lebih 50 Tahun Tak Nampak,” Pantai Rusila Diserbu Penduduk Cari Siput Laut

MARANG, 21 Nov (Bernama) — Isinya sedap seperti sotong dan cengkerangnya yang cantik boleh dibuat hiasan, menyebabkan Pantai Rusila dekat Kampung Rhu Dua di sini menjadi tumpuan orang ramai, untuk mencari siput laut yang banyak terdampar pada musim tengkujuh kali ini.

Kebanyakan penduduk berusia lebih 50 tahun yang ditemui Bernama mendakwa, siput laut itu hanya pernah dilihat ketika mereka masih kecil kira-kira 40 tahun yang lalu dan tidak pasti apakah nama atau spesis sebenar siput tersebut.

Kamariah Mohammad, 64, berkata kemunculan semula siput laut itu sejak dua hari lepas, mengimbau kembali kenangannya sewaktu kecil dan beliau teruja dapat menikmati isi hidupan laut itu yang sangat enak untuk dimakan dengan pelbagai jenis masakan.

“Makcik saja datang ke pantai ini sebab tengok makin ramai cari siput laut, lagipun rumah dekat sahaja. Tak sangka pula, siput laut ni masih wujud sebab dah lebih 50 tahun tak nampak.

Antara siput laut yang terdampar di Pantai Rusila, Kampung Rhu Dua. (Kredit: Bernama)

“Kebanyakan yang datang cari siput laut ini tidak jual sebab mereka nak rasa sendiri….ada yang agihkan kepada penduduk kampung dengan niat berkongsi rezeki,” katanya ketika ditemui Bernama di sini.

Tahun lepas, Pantai Rusila menjadi tumpuan orang ramai disebabkan fenomena kerang bulu yang terdampar dalam jumlah banyak, namun pada musim tengkujuh kali ini, jumlah siput laut pula lebih banyak ditemui berbanding kerang.

Seorang lagi penduduk Kampung Rhu Dua Muhammad Nasaruddin Ramli, 26, berkata, beliau memperoleh hampir tujuh kilogram (kg) siput laut, setelah mencari hampir tiga jam.

“Semalam dapat hanya tiga kg dan keluarga kata sedap dibuat gulai masak lemak serta masak tumis serai. Saya niat hendak sedekah pada saudara dan jiran yang tidak berkesempatan datang hari ini,” katanya yang tidak pernah melihat siput itu sebelum ini.

Selain mencari siput laut, pengunjung yang datang juga tidak melepaskan peluang bermandi-manda dan bersantai bersama keluarga berikutan cuaca yang agak baik, namun pada masa sama mereka mengakui sangat berhati-hati dan menetapkan had jarak agar tidak terlalu jauh ke tengah laut.

Seorang lagi penduduk, El Gamillo Habibun Tan, 40, berkata beliau datang ke pantai itu sejak petang semalam, selepas dimaklumkan sahabatnya mengenai fenomena unik yang jarang terjadi sebelum ini.

“Alhamdulillah, musim tengkujuh di Terengganu kali ini terus memberi pelbagai rezeki dan nikmat kepada penduduk, terutama penggemar makanan eksotik. Semalam ramai ke Pantai Pandak dekat Chendering untuk mencari kerang dan hari ini, Pantai Rusila pula jadi tumpuan.

“Ada rakan saya di Sabah kata siput ini dikenali sebagai ‘sikad-sikad’ dan mudah ditemui di perairannya. Tujuan saya ke sini juga adalah untuk merakam foto dan video, kerana mahu menyimpannya sebagai kenangan berharga sepanjang bertugas di Terengganu,” katanya yang mengajar di Sekolah Kebangsaan Seberang Marang.

Sementara itu Pensyarah Kanan Institut Akuakultur Tropika dan Perikanan Universiti Malaysia Terengganu Norainy Mohd Husin berkata, beliau akan pergi ke Pantai Rusila itu untuk melihat sendiri siput laut yang didakwa sudah berpuluh tahun tidak ditemui di pantai tersebut.

Penduduk tempatan, Mohd Nasarudin Ramli, 26, menunjukkan siput laut yang diperolehinya di Pantai Rusila, Kampung Rhu Dua. (Gambar: Bernama)

“Berdasarkan gambar dan video yang saya lihat, nama saintifik siput ini ialah Margistrombus dan ia boleh dimakan.

“Siput ini banyak terdapat di perairan Indo-Pasifik termasuk Sabah dan Johor. Cuma di Terengganu, kemunculannya mungkin disebabkan beberapa faktor semula jadi yang perlukan kajian lanjut,” katanya.

Sumber: BERNAMA

Amira

Love yourself.