Siakap Keli
Kredit: Bernama

Muar, JB Dilanda Banjir Ekoran Hujan Lebat Sejak Tengah Hari

JOHOR BAHRU, 21 Nov (Bernama) — Beberapa kawasan di Muar dan bandar raya ini mula dilanda banjir selepas hujan lebat berlarutan selama beberapa jam, sejak tengah hari tadi.

Antara kawasan terjejas di Muar melibatkan Parit Masjid, Kampung Parit Othman Kiri, Jalan Sungai Terap, Jalan Sungai Abong serta Pekan Bukit Pasir.

“Hujan lebat mulai 1 tengah hari hingga 4 petang tadi di sekitar Muar menyebabkan lima rumah penduduk terjejas, namun, tiada mangsa dipindahkan kerana limpahan air berlaku di halaman rumah sahaja,” menurut Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Muar, Angkatan Pertahanan Awam (APM) Muar, dalam kenyataan, hari ini.

Menurut kenyataan terbabit, kerja pemantauan di tempat berisiko sedang giat dijalankan memandangkan satu daripada tiga stesen hujan di kawasan tersebut mencatatkan bacaan taburan hujan melebihi 31 milimeter (mm).

Ia juga mengambil kira keadaan Sungai Panchor yang telah menunjukkan bacaan air paras amaran iaitu 1.52 meter, setakat 12.30 tengah hari.

Sementara itu, kawasan yang dinaiki air di bandar raya ini melibatkan Kampung Datuk Hajah Hasnah di Majidee dan Kampung Sepakat, Masai di Pasir Gudang.

Bagaimanapun, maklumat jumlah rumah dan mangsa yang terjejas masih belum diperoleh.

Sumber: BERNAMA