Siakap Keli

Gangguan Bekalan Air Selasa Ini Susulan Pembersihan LRA Jeneri

ALOR SETAR, 22 Nov — Beberapa kawasan yang mendapat bekalan daripada loji rawatan air (LRA) Jeneri, akan mengalami gangguan bekalan air pada Selasa ini, bermula 8 pagi hingga 6 petang, susulan pengurangan operasi bagi memberi laluan kepada kerja-kerja pembersihan di loji itu.

Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Air Darul Aman (SADA) Mohd Suhaimi Mohd Jusoh berkata kawasan terjejas ialah Kampung Bendang Raja, Kampung Syed Ahmad, Kampung Tok Set, Kampung Pokok Asam, Kampung Belat, Titi Akar dan Sungai Tiang.

“Kawasan lain ialah Padang Durian, Kampung Sewa, Padang Pusing, Bukit Tegur, Bendang Pulai dan beberapa kawasan lain di sekitar kawasan-kawasan yang disebut,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata dianggarkan sebanyak 7,000 akaun akan mengalami gangguan bekalan air yang disebabkan oleh kerja-kerja penyelenggaraan kecemasan itu.

“Sehubungan itu, pihak SADA memohon maaf atas segala kesulitan yang dihadapi oleh semua pengguna terlibat,” katanya.

— BERNAMA

Aziezzan