Siakap Keli
Gambar : Bernama

Mufti Wp Perjelaskan Hukum Pendapatan Yang Diperoleh Ketika Solat Jumaat

Timbul persoalan mengenai pendapatan perniagaan yang dijalankan pada waktu solat Jumaat. Seperti tahu, pada waktu solat Jumaat, para lelaki akan pergi ke masjid untuk mengerjakan ibadat tersebut, dan kedai tersebut dijaga oleh kaum wanita. Disebabkan itu, ada yang bertanya mengenai hukum pendapatan dalam situasi tersebut.

SOALAN:

Assalamualaikum wbt, betulkah perniagaan pada waktu orang solat jumaat haram pendapatan itu? Jika yang menjaga kedai itu orang perempuan, apa pendapat ustaz?

JAWAPAN:

Waalaikumussalam wbt,

Jika seseorang yang wajib ke atasnya solat fardu Jumaat berniaga selepas gelincirnya matahari, dan selepas azan sudah mula dikumandangkan oleh muazzin, maka haram hukumnya perniagaan tersebut. Dalilnya adalah berdasarkan firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا نُودِيَ لِلصَّلَاةِ مِن يَوْمِ الْجُمُعَةِ فَاسْعَوْا إِلَىٰ ذِكْرِ اللَّهِ وَذَرُوا الْبَيْعَ ۚ ذَٰلِكُمْ خَيْرٌ لَّكُمْ إِن كُنتُمْ تَعْلَمُونَ

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Apabila diserukan azan (bang) untuk mengerjakan sembahyang pada hari Jumaat, maka segeralah kamu pergi (ke masjid) untuk mengingati Allah (dengan mengerjakan sembahyang jumaat) dan tinggalkanlah berjual-beli (pada saat itu); yang demikian adalah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui (hakikat yang sebenarnya).”

(Surah al-Jumuah, 62:9)

Imam Ibn Kathir menyebut dalam tafsir ayat tersebut bahawa para ulama telah bersepakat bahawa haram hukumnya berjual-beli selepas berkumandangnya azan kedua untuk solat Jumaat.

Justeru, jika seseorang itu tidak diwajibkan solat Jumaat seperti kaum wanita dan orang yang bermusafir melakukan jual beli ketika berlangsungnya solat Jumaat, maka tidaklah haram perniagaan tersebut. Namun jika seseorang wanita itu berniaga dengan lelaki yang wajib ke atasnya solat Jumaat maka haram juga hukumnya kerana telah menyibukkan lelaki itu daripada melakukan perkara yang fardu. Adapun berkenaan sah atau tidak sah perniagaan tersebut, maka hukumnya ialah sah sekalipun berdosa.

Lihat al-Mu’tamad oleh Syeikh Muhammad al-Zuhaili (1/500/501)

Maknanya, sekalipun hasil pendapatan tersebut adalah halal kerana sahnya akad tetapi keberkatannya tiada atau kurang. Jauhilah kita daripada perniagaan sedemikian kerana hidup tanpa keberkatan daripada Allah SWT selalu ditimpa kesusahan sama ada di dunia mahu pun di akhirat.

Wallahua’lam.

Sumber : Mufti WP

Aziezzan