Produk Apple yang bernilai £5 juta (RM27 juta) telah dicuri dari sebuah lori dalam satu rompakan di Northamptonshire, United Kingdom dimana pemandu dan pengawal keselamatan lori tersebut ‘diikat’, lapor BBC.
Polis Northamptonshire menyatakan bahawa rompakan itu berlaku di jalan raya arah selatan di persimpangan 18 M1 pada 10 November lalu.
Antara barangan yang dicuri termasuk iPhone 11s, AirPods dan Apple Watch.
Menurut pihak polis, selepas pemandu dan pengawal keselamatan disasarkan serta diikat, lori tersebut telah dipandu ke Eldon Close di Crick, untuk memindahkan barang ke ‘sebuah trak yang sedang menunggu’.
Pegawai polis menyatakan bahawa perompak telah meninggalkan pemandu lori serta pengawal keselamatan tersebut dan seterusnya meneruskan perjalanan mereka.
Trak tersebut kemudiannya ditemui di Lutterworth, Leicestershire, di mana 48 palet produk Apple itu dimuatkan ke dalam satu lagi kenderaan lain.
Pihak polis menyeru kepada orang ramai yang mungkin ternampak sejumlah kenderaan di jalan raya yang mungkin tidak pernah dilihat di kawasan itu, atau mungkin yang mempunyai rakaman kamera dash-cam di kawasan tersebut untuk tampil membantu siasatan.
Polis juga meminta kerjasama orang ramai supaya tampil memberi maklumat kepada pihak polis sekiranya terdapat produk Apple yang ditawarkan dengan harga murah kepada mereka.
Sumber: BBC