Siakap Keli

Dua Beradik Didakwa Pukul, Sepakan Kenalan

KUALA LUMPUR, 24 Nov – Dua beradik mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Selayang di sini hari ini atas tuduhan menyebabkan cedera parah ke atas kenalannya dengan memukul dan menyepak badan mangsa.

Pemandu lori ais R. Raja Kumar ,37, dan operator kilang R. Uthaya Kumar ,35, didakwa bersama dua individu yang masih bebas dengan niat telah menyebabkan cedera parah kepada S. Sethupati, 29, dengan memukul menggunakan tangan dan kaki pada bahagian badan mangsa.

Mereka dituduh melakukan kesalahan itu di kawasan tempat letak kereta berhampiran sebuah restoran di Jalan Anggun City Rawang, Gombak di sini pada 10.40 malam 18 Nov lepas mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan juga denda, jika sabit kesalahan.

Difahamkan berdasarkan pemeriksaan awal doktor, mangsa mengalami cedera parah iaitu retak tulang rusuk dan tulang hidung.

Uthaya turut mengaku tidak bersalah atas tuduhan dengan sengaja mendatangkan cedera terhadap lelaki lain, K. Satheskumar, 29, pada tempat, masa dan tarikh sama mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Nur Intan Syakieraah Zakaria menawarkan jaminan RM4,000 dengan seorang penjamin terhadap Raja manakala RM6,000 berserta seorang penjamin bagi Uthaya, bagaimanapun peguam M. Mariappan dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) yang mewakili kedua-dua tertuduh memohon jaminan dikurangkan dengan alasan mereka menanggung keluarga.

Majistret Nur Hafizah Rajuni membenarkan Raja dan Uthaya masing-masing diikat jamin RM2,000 dan RM3,500 dengan seorang penjamin dan menetapkan 11 Jan 2021 untuk sebutan semula kes.

— BERNAMA

Edayu

Lebih banyak menulis dari bersembang