Siakap Keli

Dua Lelaki Ditahan Disyaki Terlibat Kes Samun Wanita Dalam Farmasi

KUALA LUMPUR, 24 Nov (Bernama) — Polis menahan dua lelaki yang disyaki terbabit dalam kes samun seorang wanita di sebuah farmasi di Jalan Gombak di sini, Sabtu lepas.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju Supt Rajab Ahad Ismail berkata kedua-dua lelaki berusia 31 dan 40 tahun itu ditahan di lobi sebuah hotel di Jalan Pudu, Kuala Lumpur, awal pagi tadi.

”Pemeriksaan mendapati barangan kemas yang disamun telah dijual kepada pihak ketiga dan polis turut merampas pakaian yang digunakan suspek semasa kejadian,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata semakan mendapati kedua-dua suspek mempunyai rekod jenayah lampau membabitkan kes dadah iaitu masing-masing lima dan 21 rekod jenayah serta dikehendaki bagi kes dadah.

Katanya, hasil pemeriksaan mendapati kenderaan yang digunakan suspek untuk melarikan diri dipercayai kereta curi yang dilaporkan hilang di Cyberjaya.

Dalam kejadian kira-kira 8.45 malam itu, seorang wanita ditumbuk di muka selain dua utas rantai lehernya dilarikan dua lelaki ketika membuat pembayaran di sebuah farmasi.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kes itu diminta menyalurkannya kepada Pegawai Penyiasat Kanan ASP Shahrizal Saleh di talian 017-713 4705 atau Pegawai Penyiasat Insp Aisyah Mohd Nor di talian 013-933 8214 atau Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana balai polis yang berdekatan.

— BERNAMA

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.