Siakap Keli
Gambar: Vox/CBC.ca/Google

“Tiada Kes Yang Libatkan Unsur Jenayah,” Misteri Penemuan 21 Kaki Terputus Dan Masih Berkasut Di Persisir Pantai

Pada 20 Ogos 2007, seorang gadis dilaporkan telah terjumpa sisa kaki manusia dalam satu kasut di sebuah pantai di Kanada, lapor Medium.com

Tambah laporan itu, dalam tempoh 13 tahun berikutnya, sebanyak 21 kaki telah ditemui di sepanjang pantai barat laut Pasifik, menimbulkan persoalan sama ada penemuan itu berkait penyeludupan manusia, nahas pesawat, bunuh diri atau hanya kebetulan.

Kebanyakan daripadanya dipercayai merupakan sebelah kaki sahaja dan ditemui di perairan antara Kanada dan Amerika Syarikat. Pihak berkuasa tempatan berpendapat sebahagian besar adalah tidak melibatkan unsur jenayah. Pakar terlibat dilaporkan bersetuju bahawa cebisan kaki ditemui tidak menggambarkan anggota-anggota itu dipotong secara paksa, sebaliknya terurai kerana proses semulajadi.

Nahas pesawat Pulau Quadra

Lapor portal itu, lokasi penemuan kaki-kaki pada tahun pertama dipercayai berpunca daripada sumber yang sama, iaitu pereputan mayat mangsa yang terlibat dalam nahas pesawat di Pulau Quadra.

Kumpulan detektif percaya bahawa kaki-kaki itu merupakan milik lima mangsa yang maut dalam nahas berkenaan biarpun empat daripada mayat mangsa tidak ditemui, tulis Medium.

Kemalangan pada 2005 itu dilaporkan berlaku pada jarak sekitar 60 hingga 90 batu barat daya melibatkan lima mangsa.

Pun begitu, teori yang mengaitkan kaki itu dengan tragedi nahas pesawat itu mula dipertikai apabila ujian DNA mendapati salah satu kaki yang ditemui merupakan milik seorang wanita, sedangkan kesemua mangsa nahas adalah lelaki, tulis portal berkenaan.

Malah, persoalan itu menjadi semakin misteri apabila beberapa kaki lain turut ditemui dalam tempoh 10 tahun kemudiannya. Ia bermula dengan penemuan satu kaki di Pyshy, Washington pada 1 Ogos 2008, diikuti beberapa siri penemuan lain di sekitar Brisith Columbia dan Washington.

Hal ini menimbulkan keraguan terhadap teori pertama yang mendakwa penemuan lima kaki terawal sebelum itu berkait dengan tragedi nahas pesawat.

Gambar di bawah menunjukkan lokasi penemuan kaki-kaki sepanjang tempoh kira-kira 13 tahun bermula Ogos 2007 hingga Januari 2019.

Gambar: Medium.com

Mangsa tsunami, kemalangan atau bunuh diri ?

Menurut Medium, penemuan beberapa kaki dalam tempoh kira-kira sedekad itu dikaitkan dengan mangsa Tsunami pada 2004 atau peristiwa seangkatan dengannya. Hal ini kerana terdapat antara kasut-kasut yang ditemui dipercayai merupakan jenis kasut sukan atau sneaker yang telah dihasilkan pada 2004 atau lebih awal.

Selain itu, misteri itu juga dikaitkan dengan kes kemalangan dan bunuh diri. Menurut Vox.com, Perkhidmatan Koroner British Columbia (BC) menyatakan bahawa tiada unsur jenayah dipercayai terlibat dalam penemuan itu.

“Perkhidmatan Coroner British Columbia (BC) telah mengenalpasti lapan daripada 12 kaki yang ditemui, dimiliki oleh enam individu,” kata agensi itu dalam kenyataan seperti dilaporkan media.

“Tiada satu daripada kes berkenaan melibatkan unsur jenayah,” lapor agensi tersebut.

Salah seorang ahli antropologi forensik di Pejabat Pemeriksa Perubatan King County, Kathy Taylor dilaporkan berkata, penemuan itu dipercayai berkait dengan kadar populasi di sekitar lautan Salish yang dipercayai mempunyai sekitar 7 juta penduduk. Justeru, kejadian tragedi seperti lemas dan bunuh diri di kawasan itu dipercayai menyumbang kepada penemuan misteri berkenaan.

Sementara itu, seorang profesor oseanografi di University of Washington, Parker MacCready mendakwa, penemuan bahagian badan itu berkait dengan laluan angin di persisiran tersebut.

“Objek yang terapung di lautan bergerak dengan arus yang ditolak oleh angin, menjadikannya tertolak ke daratan.

“Angin yang bertiup di sini (Lautan Salish) adalah dari barat ke timur, jadi objek yang terapung di bahagian Pasifik ditiup ke pantai,” jelasnya.

Kenapa hanya kaki?

Kaki ke-13 yang ditemui di British Columbia pada Disember 2017. (Kredit: Vox/New York Times)

Menurut Timbalan Pengarah Pusat Kajian Forensik di Simon Fraser University di British Columbia, Gail Anderson, kaki mudah tertanggal daripada sendi. Hal ini membuatkan anggota seperti kaki dan tangan akan lebih mudah tertanggal daripada badan jika tenggelam lama di dalam lautan.

“Kaki mudah tertanggal daripada sendi dan apabila ia ‘melekat’ pada objek yang terapung seperti kasut, ia lebih mudah terdampar di pantai,” katanya.

“Perhatikan, tiada kaki ditemui dalam kasut tinggi atau selipar. Malah, kasut khusus untuk berlari hari ini lebih mudah terapung berbanding dahulu.”

Selain itu, kasut juga dipercayai melindungi bahagian kaki daripada berselerak ataupun dimakan hidupan di laut.

Antara kaki yang ditemui dalam kasut sukan dan but hiking.

Gambar: British Columbia Coroners Service/Vox.com

Sumber: Medium, Vox.com, CBC.ca

Amira

Love yourself.

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.