Siakap Keli
Gambar: Google

“Tukar Nombor Telefon,” Guru Ini Kongsikan 11 Tips Hentikan Ketagihan Dadah Jenis Syabu

Artikel ini diolah & diterbitkan ke Siakap Keli dengan kebenaran dari sumber asal.

Bukan mudah untuk keluar dari ketagihan, tak kira ketagihan gajet, permainan video, pornografi mahupun dadah. Aktiviti-aktiviti yang memberikan keseronokan sementara ini akan menghantui pelakunya dengan rasa serba salah atau rasa tidak kena jika tidak melakukan aktiviti tersebut. Hal ini seterusnya akan menjejaskan kualiti hidup mereka dan orang sekeliling.

Malah, apa yang lebih serius adalah apabila berlakunya kes-kes jenayah yang tak masuk logik akal apabila seseorang penagih sanggup mencederakan atau membunuh keluarga sendiri di bawah pengaruh dadah.

Justeru, bagi membantu individu berkenaan keluar dari dunia kegelapan, seorang guru, Cikgu Mohd Fadli Salleh berkongsi tips mengatasi ketagihan syabu. Katanya, tips itu dikongsikan oleh rakannya yang pernah menagih dadah selama 20 tahun dan berjaya berhenti serta keluar dari perangkap itu.

Berikut adalah perkongsiannya.

Ramai pm saya tanya tentang hal ini. Sebenarnya, sangat ramai orang sekeliling kita terjebak dengan ice/batu/syabu ni. Baik, saya bagi 11 tips untuk menghentikan ketagihan dadah.

Tips ini dikongsi oleh kawan saya yang lebih 20 tahun menagih dadah jenis syabu dan pil kuda.

1. Buang semua peralatan menagih. Lighter, bong, kaca, foil, dapur hisap dadah dan sebagainya. Buang terus, jangan simpan. Jika simpan, bila terpandang rindu akan datang.

2. Tanam tekad dalam diri betul-betul nak berubah. Buat solat sunat taubat. Taubat nasuha sungguh-sungguh.

3. Tukar nombor telefon. Ia penting agar kawan-kawan lama yang masih menagih tak dapat hubungi kita. Hanya bagi nombor kepada orang terdekat yang dorong kita untuk berubah sahaja. Jangan kongsi dengan kawan yang masih menagih.

4. Tinggalkan semua kawan-kawan lama yang masih menagih. Jangan pergi rumah mereka, usah layan jika mereka cari kita. Jawab saja, “Saya nak berubah. Tolong jauhi saya”.

5. Cari hobi baru. Penting hobi untuk alihkan ketagihan. Hobi pula lebih baik jenis yang boleh dilakukan di rumah. Menanam sayur, bunga contohnya. Melukis, main gitar, main PS dan sebagainya.

6. Jangan keluar lepak dan mengeteh. Habis kerja terus balik rumah. Bila nak keluar, bawa sama anak-anak dan isteri, kalau boleh bawa mak ayah sekali. Jangan keluar sendirian, kita akan mudah terpengaruh semula bila jumpa kawan-kawan lama.

7. Diawalnya, masa ketagihan masih kuat, banyakkan mandi. Asal gian, pergi mandi air sejuk biar ketar. 20x sehari tak apa mandi ni. Kemudian makan dan tidurlah untuk hilangkan gian.

8. Bila terasa teringat, rasa ketagih, rasa ‘rindu’ pada dadah, alih cepat-cepat fikiran dengan perkara lain. Mengaji ke, ajar anak membaca ke, layan isteri borak ke. Alih tumpuan kita.

9. Sentiasa baca perkongsian positif. Cari lingkungan (circle) dan kawan-kawan baru yang clean. Yang sudi membantu dan beri dorongan kepada kita. Jelaskan pada mereka kita dalam usaha berhenti dadah. Minta mereka support dan bantu. Pasti mereka akan sokong kalian.

10. Jaga solat. Ini tiang utama untuk hentikan ketagihan. Pastikan solat tidak tinggal dan pastikan solat itu sempurna, bukan asal solat sahaja.

11. Solat berjemaah. Solat yang banyak cacat cela ni akan buat kita tak kuat iman dan rohani. Solat hanya sekadar, takkan mampu mengubah apa-apa. Jadi solatlah berjemaah, kerana kekurangan solat makmum akan ditanggung imam.

Setiap masa ni belajar dan dalami cara solat yang betul dan sempurna, bermula ambil wuduk lagi. Solat yang baik dan sempurna mampu menegah kita melakukan maksiat. Penagihan dadah adalah sejenis maksiat.

Okey, itu sebelas tips untuk mereka yang sedang struggle nak hentikan ketagihan dadah. Dadah jenis syabu, pil kuda, eramin 5 ni adalah dadah sintetik. Ia bukan dadah tulen dan lebih mudah untuk hentikan ketagihan itu.

Ramai kawan-kawan saya dapat berhenti dan kembali hidup dengan bahagia. Mereka tak perlu pun ambil methadone untuk hilangkan ketagihan. Methadone untuk dadah tulen.

Hanya perlu tekad sungguh-sungguh sahaja. Pasang niat betul-betul, dapatkan sokongan dari orang sekeliling dan rapat dengan kita.

Untuk penagih dadah tulen seperti heroin, morfin dan seumpamanya, ia lebih sukar untuk berhenti. Memang perlu serah diri pada AADK untuk dibantu.

Namun dadah sintetik ni sangat ramai orang berjaya berhenti dengan tekad sendiri. Jadi, kuatkan tekad. Tinggal terus, jangan lagi bagi alasan “Aku dah slow sekarang”.

Tiada istilah slow dalam berhenti menagih dan menghisap dadah ni. Terus berhenti on the spot. Cuba 11 tips yang aku tulis ni.

InsyaAllah kalian boleh berjaya keluar dari ketagihan dan jalani kehidupan dengan normal seperti orang lain juga.

Kalian boleh, ingat tu.

Kita semua manusia, dan uniknya manusia ni mereka mampu berubah. Jangan bertangguh lagi, berubahlah sekarang!
#MFS
– Setiap orang layak diberi peluang –

Sumber: Mohd Fadli Salleh

Amira

Love yourself.