Siakap Keli
Kredit: Google

Pakistan Nafi Laporan Iktiraf Israel

KARACHI, 25 Nov (Bernama) — Pakistan pada Selasa menafikan spekulasi mengenai kemungkinan Islamabad akan mengiktiraf rejim Israel dan menyifatkan ia sebagai tidak berasas, lapor Agensi Anadolu.

Kementerian Luar Negeri dalam satu kenyataan berkata Perdana Menteri Imran Khan berulang kali menyatakan pendirian Islamabad dalam isu itu adalah “jelas”.

“Perdana Menteri sudah mengatakan dengan jelas hanya penyelesaian yang adil dapat beri kepuasan kepada rakyat Palestin, jika tidak, Pakistan sama sekali tidak akan mengiktiraf Israel,” tambah kenyataan itu.

Penjelasan itu dibuat berikutan laporan mengenai terdapatnya tekanan dari negara lain ke atas Pakistan agar mengiktiraf Israel.

“Pakistan teguh mendukung hak rakyat Palestin,” tambah kenyataan itu lagi.

Dalam wawancara awal bulan ini, Khan mendedahkan mendapat tekanan daripada beberapa negara supaya menjalin hubungan diplomatik dengan Tel Aviv.

“Biarkan ia menjadi (persoalan). Ada perkara yang tidak dapat kami beritahu. Kami mempunyai hubungan baik dengan mereka,” kata Khan.

Sumber: BERNAMA